PROSES pemulihan sepenuhnya cara menguruskan sumber air mentah perlu dilaksanakan bagi mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual berulang, kata pengendali industri itu.
Ia susulan gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di Selangor pada Jumaat ekoran krisis yang berpunca akibat masalah pencemaran.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata, antara usaha yang perlu dilakukan termasuk menangani isu rasuah yang berlaku antara pegawai penguat kuasa dan pemilik serta pengendali kilang.
Katanya kepada The Malaysian Insight, usaha pemulihan itu perlu dimulakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengawal selia persekutuan lebih kuasa dan melakukan pemantauan terhadap setiap sungai.
Ini kerana 95% air terawat berasal dari sungai tetapi tanggungjawab untuk memastikan sumber air ini bersih dan sihat terletak kepada kerajaan negeri.
Namun Santiago berkata, gangguan bekalan air akibat pencemaran Sungai Selangor dan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor menunjukkan ada kekurangan di pihak berkuasa negeri atau lebih teruk, mereka tidak melakukan tugas dengan baik.
Tambahnya, isu itu perlu diatasi pada peringkat perlembagaan dan persekutuan kerana walaupun undang-undang diketatkan dengan mengenakan denda kepada pelaku pencemaran, ia masih tidak berguna jika tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Kes Sungai Selangor, Sungai Kim Kim dan Simpang Renggam tidak berlaku tanpa pengetahuan majlis perbandaran tempatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ‘menutup sebelah mata,” kata Santiago yang juga merupakan ahli Parlimen Klang.
Beliau berkatas satu dialog di peringkat nasional untuk meminda Perlembagaan perlu dimulakan segera dan perlu dilaksanakan sebagai usaha bersama.

“Rakyat perlu menukar pemikiran mereka dan menghargai air seperti sumber mereka yang paling bernilai.
“Jika tidak, sungai akan terus tercemar dan kita akan terus mengalami gangguan bekalan air,” katanya. – 21 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen