HISHAMMUDDIN Hussien membidas puak dalam Umno yang mempertikaikan kesetiaannya terhadap parti dan menuduh beliau mendalangi tindakan ahli Parlimen parti itu untuk berpaling tadah.
Bekas naib presiden Umno itu berkata beliau kesal dituduh sedemikian sedangkan beliau selama ini berusaha untuk mengelakkan ahli Parlimen itu keluar parti.
Jelasnya, ia bukan satu kerja yang mudah kerana ahli Parlimen berkenaan sukar berkhidmat di kawasan masing-masing dan menerima banyak tawaran untuk lompat parti.
“Tetapi setahun untuk jaga mereka (daripada keluar parti) bukan mudah. Hendak jaga kawasan bukan mudah bila jadi pembangkang sekarang.
“Sebelah sana (parti kerajaan) memberi macam-macam tawaran. Tetapi saya dituduh hendak kumpul ahli Parlimen, jadi broker.
“Jadi lepas ini kalau ada orang bercerita dalam WhatsApp, jawab bagi pihak saya,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita Umno Kota Melaka hari ini.
Kalangan pemimpin dan aktivis Umno selama ini percaya Hishammuddin menjadi broker untuk menarik ahli Parlimen parti itu berpaling tadah menyertai parti kerajaan, walau dinafikannya.
Dakwaan itu reda seketika hujung tahun lalu apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk bercuti dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan.
Menurut Hishammuddin, pada awalnya beliau sudah buat ketetapan untuk tidak merasmikan mana-mana Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian kerana tidak mahu ditohmah dengan tuduhan baharu.
Namun beliau kemudian memutuskan sebaliknya kerana berpendapat isu itu perlu dijelaskan di di program rasmi parti, kata Hishammuddin yang menggelarkan dirinya sebagai ‘anak Turki’.
“Anak Turki sudah turun hendak beri pesanan bahawa kami tetap bersama dalam perjuangan Umno. Jangan mengadu domba.
“Sudah setahun mereka tuduh saya hendak keluar parti, masuk Bersatu, macam-macam tawaran diberikan kepada saya.
“Hari ini saya masih bersama dengan Umno kerana Hishammuddin tidak boleh dijual beli, diugut atau diperlekehkan,” katanya.
Hishammuddin juga berkata, tuduhan tersebut timbul disebabkan ahli berada dalam keadaan ‘keliru dan bingung’ selepas kalah pilihan raya umum ke-14.
Katanya, ahli pada masa itu keliru kerana akaun dibekukan dan timbul kemungkinan Umno diharamkan manakala pemimpin pula diheret ke mahkamah.
Namun tegasnya ahli parti tidak harus gentar dengan tindakan itu, katanya yang meminta agar ahli Umno terus setia.
“Apa hendak takut kalau kita tidak salah? Panggillah SPRM, PDRM tetapi jangan minta gadai perjuangan kita,” katanya.
Mesyuarat sayap Wanita Umno Kota Melaka merupakan persidangan pertama yagn dirasmikan oleh Hishammuddin.
Beliau dijadualkan akan merasmikan empat lagi mesyuarat bahagian Umno selepas ini. – 20 Julai, 2019.
Komen