Hubungan keluarga dengan Najib bukan asas sokongannya, tegas Hishammuddin


SM Amin

Hishammuddin Hussein mengulas sama ada beliau menyokong Najib, yang juga sepupu beliau, dilantik sebagai penasihat BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

PERTALIAN keluarga dengan Najib Razak tidak pernah mempengaruhi Hishammuddin Hussein untuk mengambil pendirian tentang bekas perdana menteri, termasuk pelantikannya sebagai penasihat Barisan Nasional, kata bekas naib presiden Umno itu.

Hishammuddin berkata, soal agama, bangsa dan tanahair tidak wajar dipertaruhkan hanya semata-mata seseorang itu mempunyai pertalian keluarga dengan mereka yang berkedudukan.

“Daripada dahulu lagi, talian keluarga tidak menjadi pertimbangan sama ada untuk menyokong Najib atau tidak. 

“Dalam hal berkaitan dengan parti, masa depan bangsa, agama dan tanahair, tidak akanlah kita buat keputusan bersandar talian peribadi. 

“Ini bukan cara saya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Sembrong itu ditanya sama ada beliau menyokong Najib, yang juga sepupu beliau, dilantik sebagai penasihat BN.

Pada 9 Julai lalu, Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan keputusan sebulat suara Dewan Tertinggi BN melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat gabungan itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata pelantikan itu untuk membantu BN menang pilihan raya umum yang akan datang.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat kritikan segelintir pemimpin Umno yang melihatnya sebagai tidak menguntungkan parti.

Dua pemimpin kanan Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar lantang mengkritik keputusan itu.

Nazri  menyifatkannya sebagai langkah ke belakang untuk parti, manakala Khairy menganggap pelantikan itu “kerja gila” kerana membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

“Orang hendak tengok kita berpecah. Nasihat saya, jangan kita benarkan diadu domba,” kata Hishammuddin. – 20 Julai, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen