Korea Selatan waspada ancaman Taufan Danas


Suasana ketika Taufan Danas melanda Busan pada 2013. Wilayah selatan Korea Selatan yang kini terjejas ekoran hujan lebat, bakal diancam taufan menjelang akhir minggu ini. – Gambar fail AFP, 20 Julai, 2019.

KOREA Selatan akan terus berjaga-jaga pada Sabtu bagi menghadapi sebarang kesan sampingan Taufan Danas, meskipun ia kelihatan semakin mereda, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan para pegawai kerajaan.

Kerajaan pusat dan badan pentadbiran tempatan mengekalkan sistem respons kecemasan masing-masing dan mengambil langkah meminimumkan kerosakan akibat taufan itu, walaupun kecil.

“Mungkin terdapat kerosakan di kawasan pergunungan Pulau Jeju dan bahagian lain di selatan negara itu sehingga esok akibat hujan lebat dan angin kencang, meskipun taufan itu hampir mereda,” kata Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Pada pagi Sabtu, Taufan Danas membadai Pulau Jeju dan bahagian lain di selatan negara itu yang telah dilanda hujan lebat musim ini serta angin kencang.

Setakat pukul 11.30 pagi, kebanyakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju telah memulakan perkhidmatan, meskipun pelabuhan Busan dan Lapangan Terbang Gimhae masih ditutup susulan angin kencang, menurut kementerian pengangkutan dalam satu kenyataan. – Bernama, 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen