JERMAN dan Perancis menggesa Iran untuk membebaskan segera sebuah kapal minyak Britain yang ditahan awal hari ini di Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua negara itu menyifatkan tindakan Pengawal Revolusi Iran menahan kapal itu sebagai membahayakan lagi ketegangan di rantau itu.
Insiden itu berlaku apabila tentera Iran menahan kapal tersebut yang didakwa melanggar peraturan maritim.
Kejadian berkenaan berlaku beberapa jam seleaps sebuah mahkamah di Britain memutuskan untuk melanjutkan tempoh 30 hari bagi penahanan sebuah kapal Iran, Grace 1 yang ditahan dua minggu lalu kerana melanggar sekatan Kesatuan Eropah ke atas Syria.
Sehubungan itu, Setiausaha Luar Britain Jeremy Hunt berkata tindakan Teheran menahan kapal yang menggunakan bendera Britain itu menunjukkan Iran mungkin memilih jalan berbahaya dan mempamerkan sikap yang tidak stabil.
Namun beliau berkata, Britain akan mencari jalan penyelesaian diplomatik dan menggesa Iran melepaskan kapal berkenaan.
Kapal Stena Impero itu menuju ke Arab Saudi pada Jumaat sebelum ia berlanggar dengan sebuah kapal menangkap ikan, lapor pihak berkuasa Iran di Bandar Abbas, lokasi kapal itu berlabuh. – AFP, 20 Julai, 2019.
Komen