Pegawai bank Turki bebas dari penjara AS


Mehmet Hakan Atilla, 47, timbalan ketua pengarah Halkbank Turki, ditangkap pada Mac 2017 dan disabitkan hukuman pada tahun berikutnya atas lima pertuduhan menjalankan penipuan dan konspirasi bank selepas perbicaraan yang memakan masa selama lima minggu di New York. – Gambar AFP, 20 Julai, 2019.

SEORANG pegawai perbankan Turki yang dihukum kerana merancang untuk membantu Iran menghindari sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap hasil minyak Iran dibebaskan dari penjara AS.

Mehmet Hakan Atilla, 47, timbalan ketua pengarah Halkbank Turki, ditangkap pada Mac 2017 dan disabitkan hukuman pada tahun berikutnya atas lima pertuduhan menjalankan penipuan dan konspirasi bank selepas perbicaraan yang memakan masa selama lima minggu di New York.

Atilla diserahkan kepada polis imigresen pada hari Jumaat sementara menunggu pengusirannya ke Turki, kata peguamnya, Victor Rocco kepada AFP. 

Atilla mendakwa bahawa dia hanya memainkan peranan kecil dalam perancangan itu dan bertindak sebagai pelaksana arahan yang dikeluarkan oleh ketua pengarah bank - penghujahan itu akhirnya diterima mahkamah.

Pihak pendakwaan sebelum ini mahu Atilla dipenjarakan sekurang-kurangnya selama 20 tahun atas kesalahanm tersebut.

Hukuman ke atas Atilla berdasarkan keterangan peniaga emas Turki-Iran, Reza Zarrab, yang ditangkap oleh pihak berkuasa AS pada 2016 selepas berpindah ke Florida bersama isteri dan anaknya ketika percutian keluarga ke Disney World.

Zarrab, 34, pada mulanya mengaku tidak bersalah namun kemudian menukar pengakuan sekaligus menjadi saksi bagi kerajaan AS selepas mengaku terlibat dalam skim urus niaga emas-minyak bagi menumbangkan sekatan ekonomi AS terhadap Iran.

Dalam keterangannya, Zarrab mengenal pasti Atilla sebagai penganjur utama dalam skim itu, di samping turut memberitahu penglibatan beberapa menteri Turki dan juga Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Memberi keterangan di mahkamah November lalu, Zarrab berkata beliau diberitahu bahawa Erdogan, yang merupakan perdana menteri pada tahun 2012, dan menteri perbendaharaan Ali Babacan memberi “arahan” kepada dua bank awam untuk mengambil bahagian dalam skim tersebut.

Erdogan berulang kali menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan Turki tidak melanggar sekatan AS ke atas Iran dan menuduh pesaing politiknya sebagai dalang kes itu.

Hukuman ke atas Zarrab masih tidak diketahui, kerana kebanyakan dokumen kesnya masih sulit. – AFP, 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen