Polis tahan suku Temiar bina sekatan di hulu Gerik


Diyana Ibrahim

Orang Asli Temiar mendirikan semula sekatan untuk kali kelima sejak Isnin untuk menghalang pembalak daripada mencerobohi kawasan tanah adat mereka. – Gambar Facebook Jakoa, 20 Julai, 2019.

POLIS menahan tiga orang penduduk Orang Asli suku Temiar di satu sekatan yang didirikan kumpulan masyarakat itu di hulu Gerik, Perak hari ini.

Wakil penduduk, Ajang Aleuj berkata polis turut merobohkan sekatan di Kampung Sungai Papan itu dalam operasi sekitar jam 10.00 pagi ini.  

“Tiga orang yang ditahan mungkin akan dibawa ke Balai Polis Gerik.

“Mereka (polis) tak cakap apa, cuma tarik siapa yang halang sekatan di situ,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Orang Asli Temiar mendirikan semula sekatan untuk kali kelima sejak Isnin untuk menghalang pembalak daripada mencerobohi kawasan tanah adat mereka.

Menurutnya, pembalak berkenaan juga cuba merobohkan sekatan tersebut namun tidak berjaya selepas perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak.

Empat sekatan yang dibina terdahulu sejak April berjaya dirobohkan pembalak, katanya.

Orang Asli Temiar mendakwa tanah adat mereka didaftarkan atas nama Kg Ong Kansel dengan keluasan 6,8097 hektar.

Satu pertemuan turut diadakan dengan Jabatan Perhutanan Perak pada Jumaat lalu namun mereka dimaklumkan pembalak tersebut mempunyai permit dan ia diluluskan kerajaan negeri.

“Jadi bila kita minta tunjuk permit mereka (pembalak, Jabatan Hutan) tak bagi mereka kata itu rahsia kerajaan,” kata Ajang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi The Malaysian Insight

Beliau berkata ketiga Orang Asli tersebut kini sedang diambil keterangan.

“Kita bawa mereka ke balai untuk proses dokumentasi (keterangan) dan selepas selesai mereka boleh balik,” katanya. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen