Ketua Wanita PKR tidak hadir berucap di pemukiman 


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim

Ketua Wanita PKR Haniza Talha dijadual berucap selama 15 minit atas tajuk 'Perpaduan parti dan agenda perjuangan' pada slot bermula 11.45 pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

KETUA Wanita PKR Haniza Talha tidak hadir untuk berucap pada program pemukiman parti itu di Port Dickson hari ini kerana menghadiri program lain yang sudah diatur lebih awal, kata pejabat Adun Lembah Jaya itu.

Haniza dijadual berucap selama 15 minit atas tajuk “Perpaduan parti dan agenda perjuangan” pada slot bermula 11.45 pagi tadi. 

Beliau bagaimanapun pada masa sama menganjurkan Program Pemeriksaan Mata dan Bantuan Cermin Mata untuk kawasan DUN Lembah Jaya di Ampang, Selangor.

Sumber di pejabat exco Selangor itu memberitahu The Malaysian Insight, Haniza tidak dapat membatalkan program di Ampang kerana lewat mendapat maklumat mengenai slot ucapan di pemukiman hujung minggu ini.

“Pihak kami telah uruskan program ini sudah lama. Ia juga melibatkan banyak pihak seperti vendor dan petugas-petugas seperti doktor. Untuk program slot (di pemukiman) memang dapat tahu lewat,” kata sumber kepada The Malaysian Insight. 

Pemukiman ini berlangsung ketika PKR diuji kepimpinan dan perpaduannya terkait tuduhan skandal seks yang mengaitkan pemimpinnya, yang tersebar lebih sebulan lalu.

Slot di pemukiman pagi tadi turut membariskan Ketua Pemuda Akmal Nasir dan Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang masing-masing diberi masa 15 untuk berucap.

Akmal dan Shamsul hadir menyampaikan ucapan kepada peserta pemukiman yang terdiri daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat, ahli Parlimen, Adun dan senator serta setiausaha pimpinan negeri.

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan tujuh naib presiden dijadualkan berucap malam ini. 

Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mereka akan hadir atau tidak.

Dari tujuh naib Presiden yang disenaraikan, hanya Tian Chua yang kelihatan di tempat pemukiman sejak pagi tadi. 

Nurul Izzah Anwar yang mengumumkan letak jawatan pada Disember 2018 masih disenaraikan sebagai naib presiden dan diberi slot yang sama pada malam ini.

Selain Tian Chua, Naib Presiden lain ialah Zuraida Kamarudin dan Dr Xavier Kumar, tiga yang dilantik iaitu Rafizi Ramli, Ali Biju dan Chang Lih Kang. 

Malam tadi, Azmin dan beberapa pemimpin kanan parti tidak hadir ke perasmian pemukiman parti di Port Dickson. Antaranya Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari, yang difahamkan bercuti sakit.

Zuraida juga tidak hadir malam tadi, dengan alasan sibuk membuat persiapan untuk sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemukiman tiga hari dua malam sehingga esok dirasmikan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen