BELIA Malaysia mesti mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atau berdepan dengan kadar pengangguran dan rasuah yang tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pakatan pembangkang akan berdepan halangan sukar mengambil alih kerajaan dan mengubah negara jika golongan muda Malaysia tidak melihat kepada perlunya perubahan.
“Kita ada ramai belia di sini. Kalau kita tak merasakan perlunya menukar kerajaan persekutuan (pada PRU14), untuk sepuluh tahun lagi kita akan terperangkap di bawah pentadbiran Najib,” katanya kepada beberapa ratus hadirin di ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Bandar Saujana Putra.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata salah satu sebab utama yang akan PH tangani jika ia mengambil alih kerajaan ialah kadar pengangguran belia yang tinggi. Tambah Nurul Izzah lagi, menamatkan pengajian dengan segulung ijazah tidak lagi menjaminkan golongan muda Malaysia memperoleh pekerjaan.
“Ada hampir 500,000 belia menganggur di negara ini kerana sektor pekerjaan di Malaysia tidak mensasarkan keperluan para siswazah. Ini satu masalah besar,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang turut berkongsi pentas malam tadi menerangkan skandal berbilion ringgit melibatkan 1Malaysia development Berhad (1MDB) berkata, masalah rasuah dan salah urus dana kerajaan akan memusnahkan negara hingga generasi akan datang mewarisi negara yang rosak.
“Kita tak boleh bertolak ansur dengan kerajaan jika kita terus membenarkan Najib terus menjadi perdana menteri. Kita mesti bekerja keras untuk pastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi seterusnya,” katanya.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata, parti gabungan Barisan Nasional (BN) yang lain tidak adil kepada negara apabila berdiam diri tentang skandal 1MDB.
“BN bukan hanya ada Najib. Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin lain (dalam BN)? Mengapa mereka berdiam diri? Adakah mereka bersetuju dengan apa yang berlaku? Bolehkah kita letakkan masa depan kita di tangan mereka?
“Kita, sebagai rakyat, perlu memperkukuhkan sistem, kita perlu sistem dua parti iaitu dua parti yang boleh memerintah.
“Ini untuk pastikan tiada penyalahgunaan kuasa dari kerajaan terdahulu,” kata Gobind.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Rao berkata ssesetengah negara perlu menukar kerajaan untuk menghapuskan rasuah dan tadbir urus yang pincang.
“Masa depan kita akan lebih baik jika kita tukar kerajaan kerana sekarang ini semua orang memderita malah anak perempuan saya yang tamat pengajian masih belum mendapat kerja,” katanya Rao yang berusia 50 tahun.
Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Maran pula berkata, daripada memberi tumpuan kepada menerangkan kerajaan sekarang salah, PH sepatutnnya menjelaskan rancangannya bagaimana mahu mentadbir negara dengan lebih baik jika berjaya mengambil alih kuasa.
“Saya datang sebab nak tahu apa pembangkang nak cakap.
“Kita semua tahu pasal 1MDB. Beritahu kami apa yang kamu akan buat bila berkuasa.
“Kita perlu tahu apa rancangan kamu, kepimpinan, bagaimana kamu akan laksanakan pelan untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada siri jelajah PH di seluruh negara. Ia bermula di Penaga, Kepala Batas dan akan berakhir dengan satu perhimpunan mega di Padang Timut Petaling Jaya pada 14 Oktober. – 3 Oktober, 2017.
Komen