PENGAWAL Revolusi Iran berkata mereka merampas kapal tangki minyak Britain di Selat Hormuz kerana melanggar peraturan maritim antarabangsa, ketika keadaan makin tegang di laluan air itu.
Britain bagaimanapun berkata Iran merampas dua kapalnya di Teluk itu, dengan Setiausaha Luar Jeremy Hunt memberi amaran akan berlaku akibat sangat serius jika isu itu tidak diselesaikan secepat mungkin.
Pemilik salah satu kapal itu, Mesdar berkata kapal berkenaan dikawal anggota bersenjata buat sementara waktu, tetapi kini bebas untuk berlepas.
Insiden terbaru itu berlaku selepas Presiden Donald Trump semalam berkata tentera AS menembak jatuh dron Iran yang mengancam kapal tentera laut AS di Selat Hormuz, tetapi Tehran menafikannya.
Kapal tangki Stena Impero dirampas kerana gagal mematuhi peraturan maritim antarabangsa,” menurut laman web rasmi Pengawal Revolusi Iran, Sepahnews.
Katanya, kapal itu dibawa ke pelabuhan dan diserahkan kepada organisasi berkenaan untuk meneliti prosedur undang-undang dan akan disiasat.
Pengesan perkhidmatan lalu lintas marin menunjukkan Stena Impero yang dimiliki oleh Sweden kali terakhir dikesan di kawasan berhampiran Pulau Larak di kawasan laluan air itu pada 9 malam waktu tempatan.
Kapal itu sedang melalui Selat Hormuz dan perairan antarabangsa ketika ia diserang oleh kapal kecil dan helikopter, kata pemiliknya. – AFP, 20 Julai, 2019.
Komen