POLIS India menahan seorang ahli perniagaan berpengaruh berhubung kes skim penipuan ponzi membabitkan nilai hampir AS$1 bilion, yang memperdayakan ribuan pelabur, kebanyakan umat Islam.
Mohammed Mansoor Khan ditahan di lapangan terbang New Delhi semalam ketika kembali dari Dubai, di mana beliau melarikan diri bulan lalu selepas menutup syarikatnya yang dilanda skandal itu.
Khan menubuhkan I Monetary Advisory (IMA) Group di Bangalore pada 2006 dan memperdayakan lebih 100,000 pelabur dengan janji pulangan lumayan yang berpegang kepada prinsip kewangan Islamik.
Tetapi dalam beberapa bulan terakhir, hampir 50,000 membuat laporan yang syarikat itu gagal membayar, menyebabkan pihak berkuasa memulakan siasatan di Karnataka.
Lebih 20 orang termasuk pegawai kerajaan kanan Karnataka ditahan selepas penipuan itu mencecah nilai 40 bilion rupee (AS$580 juta).
Pelabur berkata wang itu secara haram dialihkan oleh syarikat Khan, di mana pegawai berkata syarikat itu masih berhutan AS$200 juta kepada pelabur.
Dua ahli politik disoal siasat, termasuk salah seorang di mana Khan dikatakan meminjam AS$50 juta. Ahli politik itu menafikan tuduhan berkenaan.
Skim ponzi ialah operasi pelaburan tipu yang memberi pulangan kepada pelabur berdasarkan kepada duit yang dimasukkan oleh pelabur lain.
Penyiasat berkata syarikat IMA menjanjikan dividen tahunan sehingga 30%.
Syarikat itu berkata wang berkenaan akan menumpukan kepada emas, berlian dan hartanah.
India tidak mengiktiraf perbankan Islam, yang melarang keuntungan berdasarkan kepada bunga, tetapi masih banyak syarikat swasta beroperasi mengikut skim patuh Syariah untuk populasi Muslim di negara itu, kira-kira 170 juta.
Skim ponzi sering menyasarkan golongan miskin India yang tidak ada keselamatan kewangan dan mudah menjadi mangsa hingga hilang semua wang hasil titik peluh mereka.
Polis turut menyiasat penipuan ponzi bernilai AS$6 bilion di Bengal Barat, di mana hampir 1.5 juta pelabur ditipu oleh syarikat Saradha Group yang terkubur pada 2014. – AFP, 20 Julai, 2019.
Komen