PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro berkata tiada kebuluran di negara itu, memetik kurangnya orang yang kurus di jalanan sebagai bukti.
Bercakap kepada wartawan luar negara, Bolsonaro menyalahkan populis kerana membuat propaganda “penipuan besar” bahawa kira-kira 209 juta rakyat Brazil tidak cukup makan.
“Tidak ada kebuluran,” katanya, berkata Brazil kaya dalam setiap jenis hasil tanaman.
“Anda tidak akan nampak orang miskin di jalanan dengan badan kurus melidi, seperti di negara lain.
“Kata Brazil berdepan kebuluran hanya tindakan populis untuk mendapatkan simpati popular, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Tetapi selepas dikecam di media sosial, Bolsonaro berkata cara pemakanan rakyat Brazil teruk, dan ada sesetengah orang lapar.
“Ia tidak boleh diterima di negara yang kaya seperti ini, dengan tanah luas dan air kita lebih dari cukup.
“Tetapi kita ada masalah diet di Brazil. Itu bukan salah saya, dan ia memang ada sejak sebelum saya,” kata Bolsonaro.
Angka terbaru daripada Organisasi Pertanian dan Makanan PBB menunjukkan 5.1 juta rakyat Brazil kurang zat. – AFP, 20 Julai, 2019.
Komen