KONTRAKTOR kerajaan Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana mencuri sejumlah besar maklumat sulit sepanjang tempoh lebih dua dekad.
Harold Martin, 54, dari Glen Burnie, Maryland mengaku bersalah pada Mac menyimpan maklumat pertahanan negara.
Martin ditahan pada Ogos 2016 selepas bekerja 23 tahun sebagai kontraktor untuk pelbagai agensi persekutuan termasuk Agensi Keselamatan Negara (NSA), yang pakar dalam pintasan komunikasi global.
Beliau mempunyai pelepasan keselamatan yang membolehkannya akses kepada maklumat sulit dan sensitif pada kebanyakan masa.
Penyiasat tidak dapat memastikan sama ada Martin memindahkan maklumat itu kepada sesiapa dan motifnya tidak pernah didedahkan.
“Harold Martin mengangkat sumpah untuk melindungi rahsia negara, dan melanggar sumpah itu berulang kali selama bertahun-tahun, menyebabkan beliau tidak mengendalikan maklumat sulit dengan amanah,” kata Ejen Khas FBI Jennifer Boone dalam satu kenyataan.
“Tindakan Martin menjejaskan sumber masyarakat risikan dan kaedahnya.”
Susulan penahanan Martin, polis menemui dokumen dan data yang disimpan di perkakasan komputer di rumahnya di pinggir Washington dan dalam kenderaannya.
Pada masa itu, Martin bekerja dengan Booz Allen Hamilton, syarikat swasta besar yang menyediakan kontraktor kepada agensi risikan AS.
Kes itu memalukan NSA, di mana program pemantauan besar-besaran yang dilakukannya terdedah ke seluruh negara pada 2013 oleh seorang kakitangan kontrak Booz Allen Hamilton iaitu Edward Snowden. – AFP, 20 Julai, 2019.
Komen