Mahkamah Belanda potong tanggungan untuk mangsa Srebrenica


Sekumpulan wanita memegang sepanduk ketika pengebumian 33 mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada 1995 dapat dikenal pasti. – Gambar AFP, 20 Julai, 2019.

MAHKAMAH Agung Belanda semalam memotong liabiliti kerajaan untuk 350 mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada 1995, berkata pengaman hanya ada peluang “nipis” menghalang kematian mereka.

Semua 350 lelaki itu adalah antara 5,000 penduduk ketakutan yang mencari perlindungan keselamatan di pangkalan pengaman Belanda di mana kawasan umat Islam yang terkepung itu diserbu tentera Serbia Bosnia pada Julai 1995.

Tentera Belanda yang tidak bersenjata lengkap itu kemudian panik dan menutup pagar mengelak semakin ramai yang datang sebelum membenarkan tentera Serbia diketuai oleh Ratko Mladic untuk mengeluarkan semua pelarian terbabit.

Lelaki dan kanak-kanak lelaki dipisahkan dan dibawa dengan bas untuk dibunuh, dengan mayat mereka dibuang ke dalam kubur besar.

Hakim bagaimanapun semalam mengurangkan daripada 30% kepada 10% tanggungjawab kerajaan Belanda bagi ganti rugi kepada keluarga dalam kes yang dibawa oleh persatuan mangsa Mothers of Srebrenica.

Semua 350 mangsa itu antara 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam yang dibunuh di Srebrenica, insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan episod paling hitam dalam pemisahan Yugoslavia.

“Kerajaan Belanda menanggung liabiliti yang sangat terhad dalam kes ‘Mothers of Srebrenica’,” kata Mahkamah Agung. – AFP, 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen