SETIAP daripada kita pasti mempunyai pengalaman menonton wayang kali pertama. Pengalaman itu sudah pasti menjadi sesuatu yang berharga, lebih-lebih lagi jika ia sebuah filem yang kekal hebat sepanjang zaman.
Bagi seorang yang lahir di sebuah pekan kecil seperti Kuala Kangsar, Perak, pengalaman saya menonton wayang kali pertama sudah tentu akan terus melekat dalam kepala.
Manusia yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan filem, wayang dan sinema ialah bapa saya sendiri.
Beliau seorang yang gilakan filem. Jika mendengarkan kisah tentang pengalamannya menonton wayang, ia membuatkan saya teruja dan ingin sekali berada di tempatnya dahulu. Boleh dikatakan hampir setiap minggu, semasa dirinya kanak-kanak, remaja dan dewasa bapa saya akan menonton wayang.
Bapa memberitahu menonton wayang semasa dulu menjadi budaya dan ritual terpenting masyarakat. Ia menjadi sumber hiburan utama. Maka tidak hairan panggung wayang akan sentiasa dipenuhi orang. Bapa saya penggemar filem klasik Melayu, filem aksi dan perang Hollywood juga filem Tamil dan Hindi.
Pernah sekali saya menunjukkan kepadanya buku tulisan Amir Muhammad, 120 Malay Movies. Beliau teruja dengan buku berkenaan dan membuka ruangan indeks yang menyenaraikan semua tajuk filem di dalam buku itu. Kemudian beliau mengambil pensel dan menanda pada beberapa tajuk filem. Hampir 100 tajuk filem yang ditandanya.
Saya bertanya apa makna tandaan itu. Beliau menyebut filem yang ditanda itu ialah filem-filem yang ditontonnya di panggung wayang. Teruja saya melihat minat mendalam beliau terhadap filem.
Bapa mengajar saya banyak tentang filem. Walaupun dia bukanlah bersekolah sehingga ke universiti atau pernah duduk di sekolah filem, namun kerana minat yang mendalam diturunkan banyak kepada saya.
Sebenarnya dia tidaklah mengajar saya tentang perkara-perkara teknikal atau makna-makna dalam shot, namun dia sekadar memperkenalkan saya dengan filem — duduk dan tonton. Seronok dan gembira dengan apa yang ditonton.
Biasanya pada masa terluang, bapa akan membawa saya ke kedai sewaan pita video. Di sana bapa akan menyewa filem yang disukainya. Namun bapa juga membuka peluang kepada saya untuk memilih filem yang ingin saya tonton. Sesuai dengan umur saya pada ketika itu, saya sering saja memilih filem-filem animasi. Lion King, Little Mermaid dan Beauty and The Beast.
Bagi menambah keseronokan, bapa juga menyewa pita-pita video filem dari Indonesia. Khasnya filem-filem seram. Beliau memperkenalkan saya dengan Suzanna.
Saya tidak berkesempatan menonton XX Ray di panggung wayang, namun bapa menyewa pita untuk saya tonton. Saya tertarik apabila menonton trailernya di TV3. Disebabkan faham dengan kemahuan saya, maka bapa menyewa pita filem berkenaan.
Paling banyak bapa saya akan menyewa pita filem Tamil dan Hindi. Minat yang besar terhadap filem membuatkan bapa saya menggunakan set pemain video di rumah untuk merakam filem yang ditayangkan di televisyen.
Bapa saya agak teliti dalam soal ini. Dia merakam bukan sekadar merakam, dia akan menunggu sepanjang masa di depan televisyen dan di set pita pemain video, semata-mata untuk menyunting iklan.
Apabila tiba pada waktu iklan, bapa saya akan menghentikan rakaman dan akan memutar kembali rakamannya untuk melihat sama ada, terdapat iklan atau tidak. Potongannya sangat teliti, kerana apabila selesai merakam, kita akan melihat sambungan filem tadi dengan menarik, tanpa perlu menikmati iklan bersama-sama.
Bapa saya akan menunggu di setiap Khamis dan Jumaat untuk merakam filem-filem hebat Hollywood menerusi slot Dunhill Double. Antara filem yang pernah dirakamnya termasuklah Gone With The Wind, The Unforgiven dan Back To The Future.
Begitu juga dengan filem Hindi, pernah bapa saya memberitahu saya pada suatu petang bahawa dia baru sahaja menerima pita kiriman kawannya yang melancong ke India. Pita itu mengandungi filem Sholay tanpa potongan. Puas kami menontonnya pada hari itu.
Walaupun kami lebih banyak menghabiskan masa menonton pita video berbanding di panggung wayang, namun bapa saya pernah membawa saya menonton filem Twister ketika saya di darjah enam. Filem tentang puting beliung itu merupakan pengalaman pertama saya menonton di panggung wayang.
Sangat mengujakan pada saya yang ketika itu masih kanak-kanak melihat Amerika dibadai taufan pada sebuah skrin besar. Kedua-dua kakak saya sebenarnya lebih beruntung kerana bapa saya pernah membawa mereka menonton filem Superman pada 1978.
Saya menyimpan dalam hati untuk terus menonton filem di panggung wayang. Namun hasrat itu tidak bertahan lama apabila panggung Rex tempat saya menonton itu sudah ditutup tidak lama selepas itu. Kemudian satu lagi panggung wayang di Kuala Kangsar yang dikenali sebagai Capitol juga rebah. Sebelum itu, ada sebuah panggung bernama Cathay juga hilang dari pandangan.
Panggung Rex di Kuala Kangsar kini menjadi kawasan rumah kedai. Capitol pula menjadi pusat snuker dan di depannya pada sebelah pagi ada roti canai yang sedap.
Sehingga sekarang, bapa saya masih menyimpan minat tinggi terhadap sinema. Jika ada filem menarik yang ditayangkan di televisyen, pasti dia akan mengirimkan mesej mengingatkan saya tentang tarikh dan masa tayangan agar saya tidak terlupa. Walaupun tinggal berjauhan kami masih menikmati filem bersama-sama dengan cara yang berlainan.
Apabila mengetahui saya akan pulang ke kampung, bapa saya akan mengirimkan DVD filem untuk saya bawa pulang. Terbaru dia meminta saya mencari filem The Longest Day, sebuah filem perang. Mujur saya menjumpainya di sebuah kedai DVD. Saya bawa pulang dan menghadiahkan kepadanya.
Rutin kami tentang filem masih berlangsung, di WhatsApp, bapa saya terus mengirimkan trailer filem menarik yang dijumpainya di YouTube.
Begitulah pengalaman sinema saya yang mengujakan. Ia menghubungkan saya dan bapa dengan erat. Sehingga sekarang kami masih bertaut atas tali sinema. Malah setiap kali berjalan di pekan Kuala Kangsar dan melihat bangunan Capitol serta Rex, saya pantas akan mengingati benih-benih awal filem yang ditanam di dalam kepala saya.
Saya melihat sinema meninggalkan memori besar buat saya. Bagi saya filem ialah memori yang terus melekat, membuatkan kita mengingati perjalanan hidup dan bagaimana kita mampu terus bermesra dengannya. – 20 Julai, 2019.
* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen