PKR Perak dan peguam tanya mana Farhash 


Nabihah Hamid

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim ditahan reman sejak Selasa untuk siasatan berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

SEKUMPULAN ahli dan pemimpin PKR Perak berhimpun di hadapan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur malam ini mendakwa tidak dapat menghubungi Pengerusi mereka, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang kini ditahan polis.

Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim ditahan reman sejak Selasa untuk siasatan berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu. 

Beliau dijadual dibebaskan daripada tahanan reman esok.

Timbalan Pengerusi PKR Perak M A Thinakaran berkata, pihaknya melalui peguam Harjit Singh telah menghubungi pegawai penyiasat untuk berkomunikasi namun gagal. 

“Kita telah lantik peguam untuk hubungi pegawai namun tidak berjaya. Inikah Malaysia baharu? 

“Kami mahu tahu bagaimana keadaan Farhash,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kumpulan itu malam ini mengadakan perhimpunan solidariti secara aman di luar Balai Polis Dang Wangi bagi menyatakan sokongan terhadap Farhash. 

Dalam pada itu peguamnya Harjit Singh berkata pihaknya tidak dapat menghubungi Farhash selepas beliau dikenakan reman. 

“Hari Selasa saya jumpa dia sewaktu permohonan reman dan selepas itu kita tidak dapat berhubung langsung melalui dengan beliau. 

“Polis punya kuasa untuk siasatan tetapi kita juga ada hak mahu tahu perkembangan anak guam kita. Ini adalah salah di bawah Seksyen 28A kerana menghalang kami berhubung,” katanya. 

Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh direman. 

Isnin lalu, polis menahan Farhash di Johor dan memohon perintah reman daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa. 

Penahanan Farhash adalah bagi menyiasat pengedaran kilp video intim yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Haziq Abdullah Abdul Azis, bekas Ketua AMK Santubong yang mengaku pelaku dalam video ditahan sekali lagi Ahad lalu dan dijadual dibebaskan esok.

Lima yang ditahan bersama Haziq dibebaskan semalam.

Video klip tiga siri itu didakwa dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu dan mencetus konflik serta ketegangan dalam parti reformasi itu.

Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan klip video itu sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kerjayanya sebagai ahli politik. – 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen