Acara serbu pangkalan tentera AS dapat amaran


Jemputan program itu dinamakan 'Storm Area 51, They Can’t Stop All of Us' (Serbu Area 51, Mereka Tidak Boleh Halang Kita) dijadual pada 20 September dan akan berkumpul di lokasi pelancongan Pusat Makhluk Asing. – Gambar EPA, 19 Julai, 2019.

LEBIH 1.7 juta orang menyatakan minat menyertai acara yang diiklankan dalam media sosial Facebook bagi menyerbu pangkalan tentera Amerika Syarikat, Area 51 di Nevada, menyebabkan tentera udara terpaksa mengeluarkan amaran, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.

Jemputan program itu dinamakan “Storm Area 51, They Can’t Stop All of Us” (Serbu Area 51, Mereka Tidak Boleh Halang Kita) dijadual pada 20 September.

“Kita akan berkumpul di lokasi pelancongan Pusat Makhluk Asing dan membuat penyelarasan bagaimana untuk kita masuk. Jika kita lari macam ‘Naruto’ kita boleh lari lebih pantas daripada peluru mereka.

“Mari kita jumpa makhluk asing,” menurut iklan jemputan di laman sosial itu.

‘Naruto’ merujuk kepada gaya berlari karektor animasi Jepun, Naruto Uzumaki.

Ketika ini, kira-kira 1.3 juta membayangkan mereka berminat menyertai acara itu.

Jurucakap Tentera Udara, Laura McAndrews memberitahu rangkaian berita ABC News pada Khamis, pegawai sudah maklum mengenai perkara itu.

“Lapang Sasar Ujian dan Latihan Nevada adalah kawasan Tentera Udara menguji dan membuat latihan kapal terbang tempur. Mengikut peraturan, kita tidak boleh membincangkan langkah keselamatan khusus, tetapi amat bahaya jika menceroboh bangunan atau kawasan latihan tentera,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kumpulan yang gemar membongkar teori konspirasi percaya, kerajaan Amerika menggunakan pangkalan itu untuk menyembunyikan makhluk asing serta kapal angkasa yang dirampas.

Rangkaian berita BBC melaporkan teori itu bermula pada 1989 apabila seorang lelaki dikenali Bob Lazar, dalam satu temuramah mendakwa dia adalah seorang pakar makhluk halus yang bekerja di Area 51.

“Lazar berkata, dia bekerja dalam meleraikan UFO dan membaca dokumen kerajaan yang menceritakan pembabitan makhluk asing dalam kehidupan di bumi,” lapor BBC.

Pangkalan tentera dengan keluasan 2.9 juta ekar itu mempunyai ruang udara seluas 5,000 kaki persegi, adalah kawasan larangan terbang untuk orang awam.

Minggu lalu, McAndrews memberitahu akhbar The Washington Post, Tentera Udara melarang orang awam memasuki kawasan terbabit.

“Tentera Udara sentiasa bersiap sedia mempertahankan Amerika serta asetnya,” katanya. – Bernama, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen