Bekas pegawai undang-undang mohon perintah serah saman editor Sarawak Report


Bede Hong

Clare Rewcastle-Brown berkata menerima surat tuntutan menerusi e-mel menuntut ganti rugi RM100 juta dalam saman fitnah difailkan V. Mabel Muthayyah berhubung satu artikel pada 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

BEKAS ketua sekretariat di Pejabat Peguam Negara akan memohon ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk penyampaian writ saman ke wilayah luar bidang kuasa mahkamah kepada pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang berpangkalan di United Kingdom.

Ia susulan Rewcastle-Brown berkata beliau hanya menerima surat tuntutan, dihantar menerusi e-mel lebih seminggu lalu, yang menuntut ganti rugi RM100 juta dalam saman fitnah difailkan oleh V. Mabel Muthayyah berhubung satu artikel disiarkan pada 2015.

Rewcastle-Brown berkata Mabel gagal menyatakan secara khusus bidang kuasa di mana beliau hendak menyamannya.

Mabel membuat tuntutan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung satu artikel tentang timbalan pendakwa raya mendiang Anthony Kevin Morais.

Peguam David Gurupatham yang mewakili Mabel memberitahu The Malaysian Insight, Rewcastle-Brown membuat tuduhan serius dalam artikel itu bahawa anak guamnya meminta keluarga Morais mempercepatkan upacara pembakaran mayat untuk mengelak bedah siasat kedua.

Artikel Sarawak Report bertajuk: “How AG’s Office connived to prevent a second post-mortem on Kevin Morais – exclusive exposé” ditulis selepas pembunuhan Morais pada tahun yang sama.

Gurupatham sebelum ini berkata pengarang Sarawak Report itu enggan menerima surat guaman menuntut permohonan maaf secara terbuka.

“Memandangkan Rewcastle-Brown ada banyak dokumen dan bukti konspirasi di peringkat tertinggi di Pejabat Peguam Negara, dia sepatutnya suka untuk menamakan mereka yang berkomplot itu dan menjelaskan kenapa bukti berkenaan tidak diserahkan kepada polis,” kata Gurupatham kepada The Malaysian Insight.

“Anak guam saya pasti yang Rewcastle-Brown akan gembira menerimanya. Lebih pun, ia bermula dengan pendedahan Sarawak Report.

“Sekarang dia tahu tentang saman itu dan sudah diketahui umum dia pada masa ini terbabit dengan litigasi di Malaysia, dia boleh melantik peguam untuk menerima saman ini jadi kami tidak perlu melalui proses menyampaikan saman itu ke UK.”

Bekas staf Pejabat Peguam Negara V. Mabel Muthayyah kemukakan tuntutan saman fitnah terhadap pengarang Sarawak Report berhubung artikel tentang timbalan pendakwa raya mendiang Anthony Kevin Morais. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

Rewcastle-Brown berkata artikel itu disiarkan pada Disember 2015 di United Kingdom, maka ia melepasi had statutori untuk aduan libel di UK.

Artikel itu tidak disiarkan di Malaysia kerana laman web itu diharamkan pada masa itu “dan disekat oleh kerajaan pada masa itu”, katanya.

Morais diculik dari keretanya di tengah jalan ketika pulang dari kerja pada September 2015. Mayatnya ditemui dalam tong yang disimen.

Gurupatham sebelum ini berkata anak guamnya membuat laporan polis berkenaan artikel itu pada Disember 2015 tetapi tidak meneruskan perkara itu kerana tidak mahu menjejaskan siasatan pembunuhan Morais.

Katanya, Mabel yang kini hakim mahkamah sesyen memutuskan untuk membuat tuntutan saman selepas mendapati artikel Sarawak Report itu “asyik muncul semula” dan “kembali ada di Facebook pada Mei tahun ini”.

Mabel menuntut ganti rugi teruk dan teladan, selain injunksi daripada terus difitnah dan perintah mandatori untuk artikel itu diturunkan daripada laman web berkenaan.

Kes pembunuhan Morais kini dalam proses mahkamah dengan seorang bekas doktor tentera dan lima yang lain sedang dibicarakan. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen