TAHAP sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meningkat sebanyak 7 mata peratus di tengah-tengah kemelut yang melanda PKR, parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), kata badan penyelidik Merdeka Centre.
Kaji selidik bulanannya yang terbaru menunjukkan sokongan terhadap Dr Mahathir naik kepada 62% pada Jun lalu berbanding 55% sebulan sebelumnya pada Mei.
Sokongan itu berada pada tahap paling rendah 46% pada Mac sebelumnya.
Kaji selidik ke atas 961 responden itu turut menunjukkan kemajuan menyeluruh dari segi sentimen sokongan dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina, sementara ada kemerosotan kecil pada sokongan pengundi India.
Sentimen pengundi India pula jatuh daripada 80% pada Mac 2019 kepada 74% bulan lalu.
Menurut Merdeka Centre, sokongan terhadap Dr Mahathir melonjak sejak Mac ketika tercetusnya pergeseran terbuka antara beliau dengan Istana Johor. Ia ditambah dengan pengakuan terbuka Dr Mahathir tentang kegagalan PH memenuhi janji pilihan raya.

Sokongan paling tinggi terhadap Dr Mahathir ialah 83% iaitu pada Mei 2018, betul-betul selepas beliau memimpin PH menang pilihan raya umum menumbangkan Barisan Nasional.
Sementara itu, populariti PH dilihat kekal pada 41% walaupun sokongan pengundi bukan Melayu agak merosot.
Persepsi umum terhadap PH jatuh dari bulan ke bulan, daripada 75% pada Mei 2018 kepada 41% pada Mei 2019.
Kaji selidik Merdeka Centre ini melibatkan 961 responden berumur lebih 21 tahun yang tinggal di semua negeri di Semenanjung Malaysia.
Kajian dijalankan antara 28 Jun hingga 1 Julai lalu. Julat ralatnya dianggarkan 3.16%. – 20 Julai, 2019.

Komen