‘Penyelamat lembu’ bunuh 3 lelaki di India


Kebanyakan negeri di India mengharamkan makan dan menyembelih lembu, haiwan yang dianggap keramat oleh penganut Hindu. – Gambar EPA, 19 Julai, 2019.

SEKUMPULAN gengster di sebuah kampung India memukul hingga mati tiga lelaki disyaki mencuri lembu dalam satu serangan terbaru “penyelamat lembu”, kata polis.

Lelaki keempat dalam serangan di sebuah kampung di Bihar itu dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di hospital.

Polis berkata tiga individu ditahan kerana membunuh dan beberapa yang lain di kampung itu turut ditahan sebagai suspek. Sekurang-kurangnya seorang yang maut itu beragama Islam.

Kumpulan itu sedang memandu trak dan ditahan oleh penduduk di kampung Pithori Nandlal yang menuduh mereka mencuri lembu, haiwan yang dianggap keramat oleh Hindu.

Kebanyakan negeri di India mengharamkan makan dan menyembelih lembu. Namun, serangan terhadap individu yang disyaki menjual lembu semakin meningkat sejak Perdana Menteri Narendra Modi yang juga penganut Hindu tegar, mulai berkuasa pada 2014.

Polis Bihar berkata mangsa terbaru cedera teruk kerana dipukul selepas disyaki mencuri lembu, dan dia mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Selepas berita kematian itu tersebar, penduduk kampung mangsa datang ke hospital dan mengadakan protes, kata polis.

Saudara mara mangsa kemudian memukul lelaki dari Pinthori Nandlal.

Kebanyakan serangan “penyelamat lembu” sejak beberapa tahun terakhir dilakukan terhadap umat Islam dan parti pembangkang Kongres menuduh kerajaan negeri Bihar gagal melindungi rakyat minoriti.

Sekurang-kurangnya 44 terbunuh dalam kes keganasan berkaitan lembu dari 2015 hingga 2018, menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia.

Sekurang-kurangnya tiga kes lain dilaporkan tahun ini sebelum yang terbaru tiga terbunuh. Pada Mei, seorang lelaki Islam ditembak di kepala di Kashmir oleh penyelamat lembu.

Bulan lalu, laporan Jabatan Dalam Negeri AS berkata keganasan agama terhadap masyarakat minoriti semakin meningkat di bawah Modi. Katanya, umat Islam dan golongan kasta rendah Dalit menjadi sasaran kerana makan daging lembu.

India menolak laporan itu. – AFP, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen