Korea Selatan siap sedia hadapi Taufan Danas


Suasana ketika Taufan Danas melanda Busan pada 2013. Wilayah selatan Korea Selatan yang kini terjejas ekoran hujan lebat, bakal diancam taufan menjelang akhir minggu ini. – Gambar fail AFP, 19 Julai, 2019.

WILAYAH selatan Korea Selatan yang kini terjejas ekoran hujan lebat, bakal diancam taufan menjelang akhir minggu ini, lapor agensi berita Yonhap memetik pihak berkuasa meteorologi negara itu.

Amaran hujan lebat dikeluarkan di kebanyakan kawasan di Pulau Jeju dan wilayah selatan pada Jumaat pagi dengan jumlah curahan hujan antara 60 milimeter hingga 130 milimeter.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) hujan lebat diramal berterusan sehingga Sabtu dan kawasan terbabit turut dijangka dibadai Taufan Danas.

“Taufan, walaupun pada skala kecil, boleh membawa hujan lebat ke wilayah selatan dan Pulau Jeju. Persediaan rapi sangat diperlukan,” kata seorang pegawai KMA.

Sehingga 3 pagi Jumaat, taufan kelima untuk tahun ini itu akan bergerak ke kawasan utara timur laut Taipei pada kelajuan 22 kilometer sejam.

Taufan Danas turut diramal membadai kawasan perairan kira-kira 270 kilometer barat daya Seogwipo, Pulau Jeju, kira-kira pukul 9 malam pada Jumaat.

Ia boleh mencetuskan kejadian tanah runtuh sebelum bergerak menuju ke arah Laut Timur pada Sabtu. – Bernama, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen