Taiwan janji bantu penunjuk perasaan Hong Kong


Pertama kali, rakyat Hong Kong mengadakan protes jalanan membantah RUU ekstradisi rakyatnya ke China. – Gambar EPA, 19 Julai, 2019.

KERAJAAN Taiwan hari ini berkata ia akan memberikan bantuan kepada rakyat Hong Kong yang mencari perlindungan selepas media tempatan melaporkan berpuluh-puluh aktivis terbabit dengan protes di bangunan Parlimen, melarikan diri dari negara itu.

Janji itu membawa risiko kemarahan Beijing tetapi ia memberi kelebihan kepada Taiwan yang sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya presiden di mana isu berkaitan tanah besar masih penting – yang menyaksikan negara itu mempertahankan pentadbiran autonominya.

Lebih 30 penunjuk perasaan di Hong Kong yang bimbang didakwa kerana terbabit dalam merempuh masuk bangunan Parlimen pada 1 Julai, tiba di Taiwan untuk meminta perlindungan, kata lapor Apple Daily.

Laporan itu berkata aktivis berkenaan tinggal di beberapa lokasi dan ada yang menerima bantuan daripada NGO tempatan.

Majlis Hal Ehwal Tanah Besar, badan pembuat dasar tentang China di Taiwan, tidak mengesahkan sama ada sebarang permohonan perlindungan sudah dibuat.

Tetapi ia mengeluarkan kenyataan hari ini berkata akan mengendalikan kes seumpama itu mengikut prinsip menghormati perlindungan hak asasi manusia dan kemanusiaan.

“Kami akan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada penduduk Hong Kong yang mana keselamatan dan kebebasan mereka dalam keadaan bahaya kerana politik,” katanya.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen memberikan sokongan terhadap langkah itu. – AFP, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen