DUA exco kerajaan Perak yang sedang disiasat polis harus bercuti sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa membersihkan nama mereka, gesa sebuah badan penyokong kerajaan negeri.
Pertubuhan Rangkaian Organisasi 98 cawangan Perak mahu Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengambil tindakan mengarahkan dua exco itu bercuti demi menjaga integriti dan nama Pakatan Harapan (PH).
“Inilah masanya kerajaan PH berpegang kepada prinsip yang dijanjikan kepimpinan kerajaan untuk terus memberi kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” kata setiausahanya Sazali Shamsuddin dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertubuhan itu pagi ini menyerahkan surat kepada Faizal mendesak dua exco berkenaan direhatkan sementara siasatan pihak berkuasa selesai.
Memorandum mempertahankan integriti PH itu turut mereka serahkan salinannya kepada pemimpin parti dua exco berkenaan iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.
Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong dari DAP sedang disiasat polis berhubung dakwaan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.
Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari pula didakwa membocorkan minit mesyuarat majlis kerajaan negeri bagi mendapatkan komisyen daripada dua syarikat pertanian, dan disiasat oleh agensi anti rasuah.
Kedua-dua mereka menafikan dakwaan.
Lim dan Anwar masing-masing membuat kenyataan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Dakwaan membabitkan Yunus timbul ketika ada desakan daripada PKR Perak yang mahu exco negeri daripada parti itu diganti. Selain Yunus, seorang lagi exco dari PKR ialah Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing.
Pada akhir Mei lalu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata beliau sudah menyerahkan nama calon pengganti exco dari PKR untuk dipertimbangkan oleh menteri besar Perak. – 19 Julai, 2019.
Komen