PANEL hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dijangka mengeluarkan perintah selepas Oktober sama ada satu siasatan perlu dijalankan berhubung jenayah terhadap umat Islam Rohingya di Negeri Rakhine, Myanmar, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Dalam tempoh tiga bulan, para hakim akan menerima maklumat daripada pihak pendakwaan manakala mangsa akan dibenarkan bercakap mengenai penderitaan mereka,” kata Timbalan Pendakwa Raya ICC James Kirkpatrick Stewart dalam sidang akhbar di ibu kota Bangladesh, Dhaka semalam.
Pada 14 Julai, Pendakwa Raya ICC Fatou Bensouda merayu untuk memulakan siasatan berhubung jenayah yang dilaporkan telah dilakukan pihak tentera terhadap minoriti umat Islam.
Panel hakim tiga anggota kini meneliti merit permohonan Bensouda sebelum membenarkan siasatan, menurut ICC.
Menjawab soalan mengapa ICC belum memulakan siasatan meskipun dua tahun hampir berlaku sejak keganasan meletus di Negeri Rakhine, Stewart berkata, kelewatan itu mengecewakan, namun ia akan berbaloi sambil menambah bahwa mereka dikehendaki mematuhi satu set prosedur mengikut Statut Rom.
Beliau berkata, keganasan telah didakwa berlaku di Myanmar.
“Namun orang Rohingya telah dihantar ke Bangladesh, sebuah negara yang menandatangani Statut Rom. Ini membolehkan ICC meneliti kes tersebut,” katanya.
Myanmar bukan negara pihak ICC.
Menyentuh sama ada pasukan pendakwaan ICC mempunyai sebarang rancangan untuk melawat Rakhine bagi siasatan yang lebih boleh dipercayai.
Stewart berkata, pihaknya telah meminta kebenaran kerajaan Myanmar untuk membolehkan mereka masuk ke Rakhine.
“Bagaimanapun mereka tidak melayan kami,” katanya.
Beliau berkata pasukan pendakwaan ICC sentiasa bersiap sedia untuk melawat Rakhine dan sedang cuba mendapatkan kebenaran daripada Myanmar.
Mengenai penilaian Bensouda berkaitan jenayah terhadap Rohingya, Stewart berkata, susulan analisis beliau, Bensouda memutuskan bahawa terdapat satu asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa sekurang-kurangnya 700,000 orang Rohingya telah dihantar dari Myanmar ke Bangladesh menerusi pelbagai tindakan paksaan.
“Kesengsaraan atau kecederaan serius telah dikenakan ke atas Rohingya menerusi pencabulan terhadap hak mereka untuk pulang ke negara asal.
“Terdapat juga asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa orang Rohingya telah mengalami penganiayaan akibat jenayah yang didakwa dilakukan ini… yang menyebabkan Rohingya tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri dari Myanmar,” katanya.
Rohingya, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai orang paling dianiaya di dunia, telah berdepan ketakutan yang semakin memuncak akibat serangan sejak berpuluh-puluh orang terbunuh dalam keganasan komunal pada 2012.
Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar serta menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas masyarakat minoriti Islam pada Ogos 2017, yang meningkatkan jumlah etnik teraniaya itu di Bangladesh melebihi 1.2 juta orang.
Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh tentera Myanmar, menurut laporan Ontario International Development Agency (OIDA).
Kira-kira 18,000 wanita dan gadis Rohingya telah dirogol oleh tentera serta polis Myanmar manakala lebih 115,000 kediaman milik etnik itu dibakar dan 113,000 lagi dirosakkan, katanya. – Bernama, 19 Julai, 2019.
Komen