PBB teruskan salur bantuan makanan di Yaman


Kekurangan zat makanan semakin meluas dalam kalangan penduduk di Yaman selepas empat tahun berlakunya perang saudara di negara berkenaan. – Gambar EPA, 19 Julai, 2019.

PROGRAM Makanan Sedunia telah mencapai kesepakatan dengan kumpulan pemberontak Houthi Yaman untuk meneruskan bantuan makanan ke kawasan pengawasan mereka, kata ketua agensi itu semalam.

Kekurangan zat makanan semakin meluas dalam kalangan penduduk di Yaman selepas empat tahun berlakunya perang saudara.

PBB telah menggantung penghantaran bantuan makanan ke kawasan dikuasai pemberontak bulan lalu berikutan tuduhan “pengalihan makanan”.

Perjanjian baharu dengan Houthi Yaman membolehkan makanan segera dikirimkan ke ibu kota yang dikepung pemberontak Sanaa meskipun kedua-dua pihak belum menandatangani perjanjian secara formal, kata Ketua WFP David Beasley kepada Dewan Keamanan PBB.

“Saya boleh katakan bahawa kita telah buat kemajuan besar,” katanya dalam satu mesyuarat untuk membincangkan Yaman di mana beliau menyertai pegawai kemanusiaan PBB dalam menggariskan keadaan buruk di negara berkenaan.

Tambahnya, kira-kira 30 juta orang tinggal di Yaman dan lebih daripada dua pertiga daripada mereka adalah makanan tidak selamat.

Ketua Kemanusiaan PBB Mark Lowcock berkata, komitmen bantuan antarabangsa ke Yaman tidak dihormati.

Beliau menyeru Arab Saudi dan UAE, anggota gabungan campur tangan di Yaman untuk menyokong kerajaannya.

Pertempuran antara Houthis yang disokong Iran dan pasukan kerajaan yang dibantu gabungan dipimpin Saudi telah membunuh puluhan ribu orang yang kebanyakannya orang awam.

Konflik itu juga memaksa kira-kira 3.3 juta orang keluar dari rumah mereka. – AFP, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen