SEORANG bekas pelajar siswazah universiti AS dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa wujud kemungkinan untuk parol semalam kerana menculik dan membunuh seorang pelajar warga China.
Brendt Christensen, 30, yang tidak bercakap langsung ketika perbicaraan berdepan hukuman mati tetapi peguamnya berhujah mengakui jenayah dilakukan anak guamnya dalam cubaan mengurangkan hukuman terhadapnya.
Hakim AS James Shadid yang menyampaikan keputusan itu, menyifatkan tindakan Christensen sebagai “tindakan ganas yang tidak dapat difahami” dan menuduhnya “memenuhi fantasi berkepentingan diri tanpa memikirkan kesannya kepada sesiapa kecuali dirinya sendiri”, lapor Chicago Tribune.
Christensen menculik pelajar pelawat Zhang Yingying pada Jun 2017 di sebuah hentian bas berhampiran kampus University of Illinois di Champaign, sebuah bandar kecil pertanian.
Pendakwa raya berkata dia memperdaya Zhang ke keretanya sebelum mencekik dan membelasahnya dengan kayu bola lisut, menikam dan mengerat mayatnya.
Mayat Zhang tidak pernah ditemui.
Jun lalu, Christensen disabitkan kesalahn menculik sehingga menyebabkan kematian, serta dua tuduhan menipu FBI yang menyiasat kes itu.
Perbicaraan itu menarik minat komuniti Cina di Illinois dan China. Pihak berkuasa Beijing menghantar wakil konsulat dan keluarga mangsa dibawa dari China untuk hadir perbicaraan.
Zhang berusia 26 tahun ketika kejadian, melawat University of Illinois untuk membuat kajian. Christensen adalah pembantu siswazah untuk subjek fizik.
Selepas hukuman dijatuhkan, ayah Zhang memberitahu wartawan yang anak perempuannya sudah pulang, “kami tidak akan tenang,” katanya kepada Tribune.
Christensen ditahan pada Jun 2017 selepas menceritakan bagaimana dia membunuh Zhang kepada teman wanitanya, yang merekodkan pengakuan itu, ketika mereka hadir upacara nyala lilin untuk misi mencari Zhang yang ketika itu dilaporkan hilang. – AFP, 19 Julai, 2019.
Komen