Rusia halang resolusi PBB kecam serangan udara di Syria


Tentera kerajaan disokong Rusia disyaki melakukan serangan udara ke atas kemudahan awam termasuk hospital di Idblib. – Gambar AFP, 19 Julai, 2019.

RUSIA semalam menghalang resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa ia menghentikan serangan ke atas kemudahan perubatan di daerah Idlib Syria, kata diplomat selepas mesyuarat terbaru tentang keganasan di kawasan terakhir ditakluk pembangkang itu.

Tindakan itu menyebabkan Ketua Kemanusiaan PBB Mark Lowcock mengeluarkan kenyataan.

“Kebinasaan ini perlu dihentikan,” katanya.

Rusia dan tentera udara rejim Syria sejak hujung April lalu memperhebat serangan ke atas Idlib yang diduduki tiga juta orang di Syria, walaupun wujud perjanjian untuk menghentikan serangan pihak kerajaan.

Kuwait, Jerman dan Belgium menggesa rundingan tertutup diadakan, terbaru yang cuba dicapai sejak Mei lalu kerana situasi yang bertambah buruk di Syria.

Draf teks yang diberikan kepada wartawan meluahkan “kebimbangan besar berkaitan serangan terbaru ke atas hospital dan kemudahan perubatan lain,” termasuklah serangan pada 19 Julai lalu di Hospital Nasional Maarta, salah satu hospital terbesar dan lokasinya sudah dikongsi kepada pihak bertelagahan oleh PBB untuk mengelakkan nyawa orang awam terancam.

Rusia bagaimanapun menafikan terlibat dalam erangan itu.

Lowcock selepas mesyuarat sejak 1 Julai lalu berkata “sekurang-kurangnya enam kemudahan perubatan, lima sekolah, tiga stesen air, dua kedai roti dan sebuah ambulans dirosakkan atau dimusnahkan.”

“Keseluruhan kampung dimusnahkan atau dikosongkan kerana serangan udara itu,” katanya lagi.

Serangan udara tentera kerajaan pada Selasa lalu membunuh 11 orang di selatan Idlib, kata Pemerhati Hak Asasi Syria.

Setiauasaha Agung PBB Antonio Guterres minggu lepas mengecam serangan udara di daerah itu susulan laporan doktor perubatan Syria yang empat kemudahan perubatan di Maarat al-Numan diserang dalam masa sehari.

Perang saudara Syria yang bermula pada 2011 sudah membunuh lebih 370,000 orang dan lebih sejuta lagi jadi pelarian. – AFP, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen