20 negara termasuk UAE keluar kenyataan kecam akta hina agama, murtad


Kes terbaru hina agama yang jadi perhatian dunia adalah Asia Bibi di Pakistan. – Gambar AFP, 19 Julai, 2019.

EMERIAH Arab Bersatu (UAE) semalam menyertai gesaan diterajui AS untuk menghalang salah guna akta hina agama, yang banyak terdapat di negara Islam seluruh dunia.

UAE adalah salah satu daripada tiga negara majoriti Islam bersama-sama Albania dan Kosovo, kedua-duanya terkenal kerana moderat, menandatangani kenyataan tentang undang-undang hina agama dan murtad pada akhir mesyuarat peringkat menteri tentang kebebasan beragama di Washington.

Kenyataan menyebut yang undang-undang itu “sering digunakan sebagai sebab untuk menjustifikasikan keganasan awam atas nama agama, atau sebab menghukum kerana dendam peribadi.”

“Kami melihat kerajaan menggunakan undang-undang sebegitu untuk melakukan pemenjaraan salah dan menghukum individu yang pandangan mereka tentang agama atau kepercayaan mungkin berbeza dengan naratif rasmi atau pandangan penduduk majoriti,” kata kenyataan lagi.

“Kami menggesa kerajaan yang menggunakan undang-undang ini untuk membebaskan mana-mana individu yang dipenjara kerananya dan menghapuskan undang-undang hina agama, murtad atau apa sahaja undang-undang berkaitan yang menekan kebebasan bersuara dan beragama atau kepercayaan, dalam kaedah yang tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.”

Hina agama adalah jenayah di UAE.

Laporan terbaru Jabatan Negara AS tentang kebebasan beragama menyatakan, pada Julai 2018 mahkamah menjatuhkan penjara tujuh tahun ke atas seorang lelaki sebelum diusir kerana didakwa menghina agama melalui mesej telefon.

Tetapi, UAE, sekutu rapat AS, juga mendapat pujian antarabangsa untuk tindakan terbaru mereka termasuklah menerima kunjungan Pope Francis pada Februari lalu.

Hina agama juga memuncak di Pakistan, apabila seorang wanita beragama Kristian Asia Bibi dijatuhi hukuman mati dan dua peguamnya dibunuh sebelum beliau berjaya meninggalkan negara itu untuk ke Kanada.

Naib Presiden AS Mike Pence, pada ucapannya semalam, menggesa Pakistan untuk membebaskan seorang lagi individu kerana jenayah hina agama, pensyarah universiti Junaid Hafeez.

20 negara menandatangani kenyataan bersama tentang hina agama itu termasuklah AS, Britain, Itali dan Poland. – AFP, 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen