Jangan ceroboh tanah kami, kata suku Temiar di Gerik, Perak


Diyana Ibrahim

Setiausaha Jaringan Orang Asal Semalaysia Semenanjung bagi daerah Gerik Ajang Aleuj berkata isu pencerobohan tanah adat Orang Asli oleh pembalak seperti tidak ada kesudahannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Julai, 2019.

ORANG Asli suku Temiar di Gerik, Perak nekad mempertahankan tanah adat mereka dengan meneruskan sekatan untuk menghalangnya daripada dicerobohi oleh pembalak.

Kalau usaha itu gagal, mereka akan ke mengheret isu pencerobohan tanah adat itu untuk diadili di mahkamah.

Setiausaha Jaringan Orang Asal Semalaysia Semenanjung bagi daerah Gerik Ajang Aleuj berkata isu pencerobohan tanah adat Orang Asli oleh pembalak seperti tidak ada kesudahannya.

Katanya, dalam masa hanya dua bulan saja, empat sekatan yang mereka bina dimusnahkan oleh pembalak.

“Tahun ini mereka mula nak masuk tanah adat kami sejak Februari. 

“Pertama kali kita berjaya halang setelah ada perjumpaan dengan pembalak dan terus buat laporan polis.

“Mereka berundur namun kemudian datang balik. 

“Walaupun kita letak papan tanda jangan ceroboh, papan tanda kita kena buang… yang terakhir pada Selasa sekatan kami dibakar pembalak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Ajang, ketika ini 84 orang penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Papan termasuk wanita, remaja dan kanak- kanak menunggu di hadapan sekatan yang mereka bangunkan semula.

“Mereka (pembalak) sudah bawa jentera berat letak di depan sekatan, mereka nak masuk juga.

“Jadi kita bersedia, kita akan tunggu di sini 24 jam. Semua akan bermalam di sini. Kalau kena tangkap polis, tangkapla… macam mana pun kita takkan bagi pembalak masuk,” katanya.

Kelompok Orang Asli ini mendakwa tanah adat mereka seluar 68,097 hektar didaftarkan atas nama Kampung Ong Kansel.

Setiausaha Jaringan Orang Asal Semalaysia Semenanjung bagi daerah Gerik Ajang Aleuj berkata Felda bertanggungjawab mengecilkan tanah adat mereka sehingga hanya tinggal 1,000 hektar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Julai, 2019.

Bagaimanapun Ajang mendakwa tanah itu semakin mengecil tinggal 1,000 hektar kerana diambil oleh Felda.

“Felda ini pun satu isu sekarang kita perjuangkan, sebab mereka datang buat ladang kelapa sawit ambil tanah kita tanpa bincang.

“Selepas dah ambil tanah kami, baru orang Felda datang tanya, tapi kami Orang Asli tidak ada dapat pampasan, tidak dibayar apa-apa oleh pihak Felda,” katanya.

Ajang percaya pembalak yang sedang menunggu di muka kampung adalah dari syarikat sama yang menceroboh Kampung Tasik Cunek pada Mei lalu.

Penduduk Orang Asli di kampung itu membantah pencerobohan pembalak di kawasan mereka pada Disember lepas.

Kelompok Orang Asli ini mendakwa tanah adat mereka seluar 68,097 hektar didaftarkan atas nama Kampung Ong Kansel. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Julai, 2019.

Pada 16 Mei lalu, halangan yang dibina oleh Orang Asli dirobohkan atas arahan kerajaan negeri.

“Untuk setiap komuniti seperti Kampung Papan, Kampung Leyef, Kampung Cunex kita dah buat (pemetaan) dan dah tunjuk kepada semua jabatan.

“Kita mahu baik kerajaan negeri atau kerajaan pusat, sama- sama selesaikan. Yang paling penting, kami nak tahu pembalak yang nak masuk itu siapa luluskan,” katanya.

Balak yang jadi rebutan sehingga pencerobohan tanah adat Orang Asli berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insight, Ajang turut meluahkan kekecewaannya kerana tanah adat Orang Asli banyak diceroboh, sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

“Sumber air bersih kami tercemar sebab pembalakan. 

“Dulu kami guna sumber air Sungai Laba tapi sekarang sudah cetek, nak tangkap ikan pun tak boleh, jadi kami terpaksa cari sumber air lain,” katanya.

Tambahnya, Orang Asli bukan saja mahu mempertahankan tanah adat namun lebih penting tidak mahu hutan terus musnah kerana kerakusan pembalak.

“Apabila hutan musnah, hidup kami Orang Asli turut terkesan. Binatang dalam hutan pun keluar dan datang ke kampung.

“Untuk kami, nak buat barang kraf tangan Orang Asli dah tak boleh buat, sebab banyak pokok (bahan) yang kami perlukan makin lama makin kurang,” katanya. – 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen