Saya tak suka Jho Low, kata bekas pengarah urusan AmBank


Bede Hong

Bekas pengarah urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang berkata beliau tidak suka dengan sikap Low Taek Jho atau Jho Low yang sering lambat pada setiap temujanji. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2019.

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low seorang yang tidak menepati waktu, kata saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas pengarah urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang ketika memberi keterangan hari ini berkata beliau tidak rapat dengan Jho Low dan tidak suka dengan sikap ahli perniagaan itu yang sering lambat pada setiap temujanji.

Cheah, 72, diperiksa balas oleh peguam bela Najib, Harvinderjit Singh mengenai sejauh mana hubungannya dengan Jho Low.

Selepas satu jam setengah disoal, Cheah memberikan padangannya mengenai Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang.

Cheah: Saya akan beritahu dia orang yang macam mana. Dia tak pernah tepati waktu. Kalau temujanji pada pukul 12 tengah hari, dia datang pukul 1.30 tengah hari.

Harvinderjit: Jadi, kamu nak kata dia sukar diramalkan?

Cheah: Bukan, dia memang selalu lambat.

Harvinderjit: Jadi, adakah kamu nak kata yang dia penipu?

Cheah: Saya tak kata dia penipu, tapi sikap macam ini, saya tak suka dan saya benci. Tak boleh rapat dengan orang macam ini.

Harvinderjit kemudian merujuk kepada log perbualan antara Cheah dan Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Cheah berkata beliau tidak tahu jika dirujuk dalam komunikasi antara Yu dan Low, malah menafikan mempunyai hubungan rapat dengan Low.

Cheah juga memberitahu mahkamah beliau tidak tahu sama ada wujud komunikasi antara Yu dan Najib mengenai Low. Beliau meminta peguam itu bertanya sendiri kepada Yu apabila pegawai AmBank itu memberi keterangan. – 18 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen