Ribuan rakyat tuntut gabenor Puerto Rico letak jawatan 


Penduduk di Puerto Rico turun ke jalan raya bagi mendesak gabenornya Ricardo Rossello meletakkan jawatan susulan dakwaan rasuah yang dihadapinya.– Gambar EPA, 18 Julai, 2019

RIBUAN rakyat berarak di Puerto Rico sejak lima hari lalu menuntut peletakan jawatan Gabenor Ricardo Rossello, susulan dakwaan rasuah dan kebocoran mesej kenyataan seksisnya.

Rakyat bertindak mengadakan perhimpunan di ibu negara San Juan sambil melaungkan “Ricky, renuncia!” (“Ricky undur!”) mendesak Rossello untuk meletakkan jawatan, yang mana beliau enggan berbuat demikian.

Selebriti tempatan seperti penyanyi rap Benito Martinez, ikon pop Ricky Martin dan Rene Perez turut menggesa rakyat Puerto Rico menyertai demonstrasi.

“Bukan saya sahaja, tetapi ramai penduduk Puerto Rico akan turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi,” kata Martinez kepada stesen televisyen tempatan sebelum menyertai perarakan itu.

“Kami mahu beliau meletakkan jawatan dan kami akan terus berada di sini sehingga beliau letak jawatan atau disingkirkan,” kata seorang guru, Joan Lopez kepada AFP. 

Polis menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan berkenaan selepas kebakaran tercetus di kuarters kerajaan. Lima penunjuk perasaan ditahan.

Puerto Rico merupakan wilayah Amerika Syarikat dan penduduknya merupakan warganegara AS, namun ia tidak mempunyai wail kongres yang sama seperti AS.

Rossello menerima tekanan selepas ejen persekutuan AS bertindak menahan kontraktor dan pegawai kerajaan, termasuk bekas setiausaha pendidikan Julia Keleher berikutan dakwaan rasuah.

Protes itu tercetus selepas badan penyiasat kewartawanan mendedahkan 89 muka surat mesej perbualan yang diperoleh daripada aplikasi Telegram yang mana Rossello dan 12 ahli pentadbiran mengkritik pegawai kerajaan, ahli politik dan wartawan. – AFP, 18 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen