CARLOS Ghosn yang dikenakan perintah tahanan dalam rumah di Tokyo memfailkan saman terhadap Nissan Mitsubishi di mahkamah Belanda atas pelanggaran kontrak, lapor akhbar Perancis, Le Figaro, semalam.
Ghosn menuduh kedua-dua syarikat pembuat kereta Jepun itu melanggar kontraknya sebagai pekerja Nissan-Mitsubishi BV (NMBV), iaitu sebuah anak syarikat bersama di Belanda.
Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak 15 juta euro (AS$16.8 juta), lapor Le Figaro.
Bekas ketua Nissan itu dipenjarakan selama 100 hari sebelum diikat jamin dan dipecat dari semua jawatannya.
Ghosn didakwa kerana gagal melaporkan pendapatannya di Nissan bernilai jutaan dolar dan menggunakan dana syarikat untuk tujuan peribadi.
Laporan Le Figaro juga menyebut, peguam Ghosn berkata beliau meletak jawatan dari Renault-Nissan BV (RNBV), tetapi tidak dari NMBV.
NMBV mengucapkan terima kasih kepada Ghosn selepas mesyuarat pada 12 Mac, iaitu pada hari sama ia mengumumkan pembubaran syarikat.
Jurucakap Ghosn dan peguamnya enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi.
Menurut akhbar Le Figaro, Nissan dan Mitsubishi memohon mendapatkan semula 7.82 juta euro yang diterima Ghosn daripada NMBV antara April dan November 2018.
Awal Jun lalu, Renault mengumumkan ia menimbang untuk mengambil tindakan ke atas Ghosn selepas mendapati 11 juta euro “perbelanjaan meragukan” dikaitkan dengan bekas ketuanya itu di RNBV.
Ghosn, 65, ditahan di Jepun pada November tahun lalu.
Kejatuhannya menggemparkan dan meretakkan hubungan antara Renault, Nissan dan Mitsubishi.
Ghosn belum dikenakan dakwaan berkaitan kegiatanya di NMBV. – AFP, 18 Julai, 2019.
Komen