Raja dadah Mexico dipenjara seumur hidup di AS 


Joaquin "El Chapo" Guzman diekstradisi ke Amerika Syarikat pada 2017 dan ditahan dalam pengurungan berasingan di Pusat Koreksional Metropolitan di lower Manhattan.– Gambar EPA, 18 Julai, 2019

PARA hakim Amerika Syarikat telah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Raja Dadah Mexico Joaquin “El Chapo” Guzman, lapor agensi berita China Xinhua berdasarkan satu perbicaraan mahkamah pada Rabu.

Hakim Daerah AS Brian Cogan mengumumkan keputusan itu di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York City.

Cogan turut menambah jumlah hukuman penjara selama 30 tahun dan mengarahkan Guzman membayar AS$12.6 bilion dalam pelucuthakan kepada kerajaan AS.

Guzman, 62, didapati bersalah dalam bulan Februari atas 10 pertuduhan jenayah, termasuk terlibat dalam kegiatan jenayah berterusan, konspirasi pembunuhan dan pengedaran dadah antarabangsa.

Sebagai bekas pemimpin organisasi penyeludupan dadah terbesar dunia Sinaloa Cartel, Guzman telah menyeludup heroin bernilai lebih AS$12 bilion, metamfetamin, ganja dan kokain dari Mexico ke Amerika Syarikat sejak bertahun-tahun, menurut pendakwa raya persekutuan.

Mereka turut menyifatkan Guzman sebagai “kejam dan dahagakan darah” yang melakukan terlalu banyak perbuatan jenayah untuk dicatat sepenuhnya.

Pada Mac, pasukan pembelaan Guzman telah memohon satu perbicaraan baharu, memetik laporan Vice yang menyatakan bahawa seorang juri mendakwa sekurang-kurangnya lima juri melanggar arahan hakim apabila mereka merujuk liputan media kes berkaitan itu semasa perbicaraan.

Hakim Cogan menolak permohonan itu pada awal bulan ini atas alasan mana-mana juri yang rasional akan mendapati Guzman bersalah berdasarkan “bukti setinggi gunung” terhadapnya.

Selepas hukuman itu dijatuhkan, seorang peguam Guzman, Jeffrey Lichtman berkata di luar mahkamah bahawa anak guamnya tidak mendapat keadilan.

Guzman telah dua kali melarikan diri dari penjara di Mexico sebelum dia ditangkap semula pada 2016 dan diekstradisi ke Amerika Syarikat pada 2017.

Sejak itu dia telah ditahan dalam pengurungan berasingan di Pusat Koreksional Metropolitan di lower Manhattan, yang dianggap sebagai antara tempat dengan kawalan keselamatan paling ketat di Amerika Syarikat. – Bernama, 18 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen