Putrajaya kaji pinda undang-undang beri lebih kebebasan ketua audit, kata PM 


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi memastikan jabatan itu bebas daripada tekanan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Julai, 2019.

PUTRAJAYA sedang mengkaji untuk meminda Akta Audit 1957 bagi memperkukuhkan Jabatan Audit Negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kabinet secara dasarnya telah bersetuju untuk memberi lebih kebebasan kepada Jabatan Audit Negara.

“Sebenarnya, ia berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi tidak bermakna perdana menteri harus mempunyai kuasa ke atas ketua audit negara.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah PM mengarahkan ketua audit untuk audit ini dan jangan audit itu. Ini salah.

“Ketua audit negara perlu bebas untuk mengambil tindakan yang beliau fikirkan baik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai anti rasuah di Putrajaya, hari ini.

Tahun lalu, The EdgeMarkets melaporkan Putrajaya akan meletakkan Jabatan Audit Negara di bawah bidang kuasa Parlimen.

Dr Mahathir berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai anti rasuah di Putrajaya, hari ini.

“Ini bermakna bahawa perdana menteri dan kerajaan tidak akan mempunyai kuasa untuk menolak atau memecat jawatan di bawah pejabat ketua audit negara,” katanya. – 18 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen