KETIKA Jalil (bukan nama sebenar) ternampak satu rayuan derma untuk keluarga miskin di kumpulan sembang di Telegram iaitu aplikasi mesej percuma, dia buat keputusan mendermakan RM300 dengan niat hendak membantu.
Bagaimanapun, tindakan baiknya itu menyebabkan dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) apabila diketahui lelaki dalam keluarga yang didermakan wang itu pergi ke Syria, dipercayai untuk menyertai aktiviti berkaitan keganasan.
“Seseorang bercakap mengenai membantu keluarga miskin yang bapa dan suami dalam keluarga itu sudah pergi ke Syria. Dan Jalil fikir tidak salah jika dia ingin membantu sejumlah kecil wang bagi menolong mereka,” kata peguam Farida Mohd.
Bagaimanapun, katanya Jalil tidak sedar akaun yang dimasukkan wang derma itu sedang disiasat polis.
Farida berkata dengan banyaknya aplikasi komunikasi percuma yang ada, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan ciri dalam aplikasi, seperti muat turun auto yang secara automatik memuat turun perkongsian media ke peralatan.
Katanya, pengguna juga perlu berhati-hati dengan kumpulan yang mereka sertai di aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram, memetik contoh seorang lagi anak guamnya, Sheila (bukan nama sebenar).
Sheila ialah suri rumah yang mempunyai masalah kesihatan, dan bagi mengurangkan kebosanan di rumah, dia menjadi ahli dalam satu kumpulan di Facebook dan Telegram yang ada kaitan dengan Syria.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 130 JB Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan keganasan dan dihukum penjara dua tahun, bermula dari tarikh dia ditahan.
“Bukti yang ditunjukkan di mahkamah ialah laman Facebook. Dia ada dua akaun Facebook dan semua gambarnya dimasukkan sebagai bukti, semuanya gambar berkaitan Syria.
“Kebanyakan kawan di Facebooknya juga di Syria, jadi bila mereka bercakap mengenai Syria, mereka tag dia.
“Tetapi dia tidak ada rancangan hendak ke Syria, dia hanya suri rumah yang ada masalah kesihatan dan kewangannya ditanggung suami.
“Untuk kata dia pengganas dan hendak berjihad, ia tidak betul langsung, walaupun betul dia memang mengikuti laman berkenaan,” kata Farida kepada The Malaysian Insight.

Pada 3 April, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis berkata sejumlah 979 individu ditahan di bawah Sosma sejak dikuatkuasakan lima tahun lalu.
“Akta ini digubal untuk mengadakan peruntukan bagi langkah khas berhubung kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya,” katanya.
Tetapi peguam dan kumpulan berhaluan kanan berkata akta itu bukan alat berkesan untuk membanteras keganasan, dan ia sebaliknya menyebabkan ramai orang tidak bersalah dipenjarakan.
Peguam Syahredzan Johan berkata Sosma memberikan terlalu banyak kuasa sembarangan kepada pihak berkuasa.
“Kritikan terbesar terhadap Sosma ialah tahanan 28 hari tanpa bicara. Tetapi ia bukan sesuatu yang unik untuk Malaysia kerana Akta Keganasan di UK juga menggunakan 28 hari tahanan tanpa bicara, dikenali sebagai penahanan penyiasatan.
“Masalah terbesar Sosma ialah tahanan itu bukan penahanan dalam pengawasan kehakiman,” katanya merujuk kepada kuasa yang diberikan kepada polis untuk menahan seseorang tanpa perintah dari mahkamah.
Penahanan itu tidak seperti reman di mana seseorang t hanya boleh ditahan 24 jam dan perintah reman daripada majistret perlu dikeluarkan bagi tahanan selanjutnya.
“Daripada apa yang saya lihat di mahkamah, kerajaan tidak cukup menunjukkan bagaimana Sosma berkesan dalam menangani keganasan, dan hakikatnya ia digunakan terhadap penentang politik, orang seperti Maria Chin dan Khairuddin Abu Hassan,” kata Syahredzan.
Maria, pengerusi kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0, ditahan di bawah Sosma pada 18 November, 2016, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5. Dia dibebaskan 11 hari kemudian.
Khairuddin ditahan di bawah Sosma pada Oktober 2015 selepas memfailkan laporan terhadap syarikat 1MDB. Pihak berkuasa berkata laporannya itu adalah tindakan mensabotaj dan membahayakan ekonomi serta kedaulatan Malaysia.
Memandangkan banyak kes bukan keganasan ditahan di bawah Sosma, Syahredzan berkata kerajaan perlu menjustifikasikan keperluan untuk melanjutkan undang-undang itu bagi lima tahun lagi, susulan kelulusan Dewan Rakyat untuk menyemak pelaksanaan sub seksyen 4(5) Akta itu minggu lalu.
Sub seksyen 4(5) Sosma memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan individu disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan bagi tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan.
Sehingga tempoh penahanan bagi undang-undang itu disemak, peguam Farida memberikan satu nasihat kepada mereka yang aktif terlibat mengikuti perbincangan dan kumpulan di sosial media.
“Berhati-hati dengan siapa anda berhubungan. Jika anda dimasukkan ke mana-mana kumpulan WhatsApp, Telegram atau Wechat, sahkan dulu dan periksa siapa mereka.
“Tidak ada salahnya ada perasaan ingin tahu, tetapi undang-undang kata jika anda memiliki bahan berkaitan keganasan, anda bersalah.
“Jika kumpulan Telegram dibuka oleh pentadbir yang juga seorang suspek pengganas dan mereka berbincang mengenai Jihad, anda boleh dianggap sebagai menyokong keganasan jika menyertai perbualan itu,” katanya.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza.
Beliau berkata semua penahanan dibuat polis di bawah Sosma dijalankan dengan sewajarnya dan berdasarkan maklumat yang terkumpul.
Khalid berkata polis akan sentiasa menjalankan siasatan terperinci sebelum membuat tangkapan.
Katanya, alasan mudah seperti kawan tag di Facebook mengenai Syria atau gambar yang berkaitan keganasan tidak mencukupi untuk ditangkap.
“Tidak, bukan sekadar kaitan seperti itu saja,” katanya, menambah terdapat proses ketat sebelum seseorang individu boleh ditahan di bawah Sosma.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan lebih lanjut prosedur berkenaan. – 15 April, 2017.
Komen