Tugas setiausaha politik akan disemak semula, kata PM


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai anti rasuah di Putrajaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Julai, 2019

KERAJAAN akan meneliti semula tugas dan tanggungjawab setiausaha politik, kata Dr Mahathir Mohamad, bagi mengelak ruang untuk salah guna kuasa dan penyelewengan.

Katanya, ada keperluan untuk Jemaah Menteri membincangkan peranan mereka bagi memastikan apa yang terjadi semasa pentadbiran sebelum ini tidak berulang lagi.

“Pada mulanya peranan setiausaha politik ialah menghubungkan menteri dan rakyat.

“Tetapi sekarang kita ada setiausaha politik yang terlibat mengagihkan kontrak sama seperti yang dibuat dalam kerajaan dahulu.

“Ini bukan kerja mereka,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai anti rasuah di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, adalah mustahak untuk setiausaha politik dikembalikan kepada peranan asalnya iaitu membantu menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata 15% daripada 115 inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional sudah dilaksanakan, berdasarkan laporan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Ia melibatkan sembilan inisiatif bagi bidang tadbir urus politik, dua untuk pentadbiran sektor awam, tiga untuk perundangan dan kehakiman, satu untuk penguatkuasaan undang-undang dan dua untuk tadbir urus korporat, katanya. – 18 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen