Malaysia kaji untuk perguna logam nadir bumi bernilai RM732 bilion


Sheridan Mahavera

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata lembaga pembangunan mineral sedang ditubuhkan bagi mengkaji bagaimana negara dapat membangunkan industri nadir bumi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019

MALAYSIA mempunyai logam nadir bumi bernilai kira-kira RM732 bilion dan kerajaan sedang merangka rancangan sama ada untuk mengeksploitasi mineral-mineral ini, kata menteri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata lembaga pembangunan mineral sedang ditubuhkan bagi mengkaji bagaimana negara dapat membangunkan industri nadir bumi walaupun wujud kebimbangan mengenai isu keselamatan dan alam sekitar.

Beliau berkata lembaga berkenaan akan merangka pelan konprehensif berhubung bagaimana nadir bumi di seluruh negara ini dapat digali dan diproses menggunakan peraturan yang paling ketat.

Deposit nadir bumi setakat ini telah dikenal pasti di Tanah Merah, Baling, Jeli, Trong, Muar, Simujan dan Samatan, kata Xavier dan menambah bahawa pembangunan industri berkenaan akan menjana sekurang-kurangnya RM100 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Tetapi kita perlu pelaburan yang besar. Kita juga perlu memfokuskan kepada kesannya terhadap penduduk dan alam sekitar,” kata Xavier ketika menjawab soalan daripada Santhara Nair (PH-Segamat) di Dewan Rakyat.

Logam nadir bumi digunakan secara meluas dalam komputer, telefon bimbit, panel solar dan kereta hibrid namun pemprosesan dan perlombongannya menimbulkan kontroversi berikutan sifat radioaktifnya.

Perkara ini dibangkitkan kepada Xavier oleh Wong Tack (PH-Bentong), yang bertanya rasional kerajaan di sebalik pembangunan industri itu walaupun timbul kontroversi terhadap loji nadir bumi di Malaysia. – 18 Julai, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen