SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) berharap dapat melancarkan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR) dalam masa satu setengah tahun akan datang, kata Azhar Azizan Harun.
“Kami tidak meletakkan tarikh akhir tetapi jangkaan kami adalah kira-kira satu setengah tahun,” kata pengerusi SPR semasa forum di Putrajaya hari ini.
Azhar berkata, SPR perlu berunding dengan semua pihak berkepentingan seperti parti politik dan agensi kerajaan lain sebelum dapat melaksanakan AVR.
Peguam yang kini menerajui agensi penting pilihan raya negara itu menjawab soalan moderator Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar tentang rancangan agensi itu untuk melaksanakan AVR.
Menurut Azhar, buat masa sekarang terdapat empat juta pengundi atas umur 21 tahun yang layak mengundi tetapi tidak berdaftar.
“Dengan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, akan ada tambahan 1.5 juta pengundi berserta 500,000 lagi pengundi setiap tahun,” kata Azhar ketika pelancaran kempen “Make a Change, Let’s Do It Together” hari ini.
Kempen itu dianjurkan SPR sempena pelancaran sistem pendaftaran pengundian dalam talian, MySPR Daftar.
Azhar bercakap pada forum “Undi18: Trend dan Tanggungjawab” bersama-sama Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Adun Ketari Young Syefura Othman.
Sementara itu, Azhar berkata beliau tidak menyokong cadangan wajib mengundi kerana hak untuk mengundi wujud bersama-sama hak untuk tidak mengundi.
“Pengundian wajib di Australia tetapi kadar keluar mengundi hanya 92%. Apa yang kita perlukan adalah memastikan wujud cukup kemudahan untuk orang mengundi.
“Di Australia, seorang pengundi Perth boleh mengundi calonnya d Canberra tetapi pengundi Sabah atau Sarawak tidak boleh berbuat begitu di negara ini sekarang. Dia perlu balik ke Borneo untuk mengundi dan ia menelan belanja.
“Kerana itu, kita perlu kaji bagaimana hendak mengubah perkara ini,” katanya. – 18 Julai, 2019.
Komen