Selepas dipenjara 20 tahun, lelaki dibebaskan kerana ujian DNA


Christopher Tapp, 43, sudah dipenjara 20 tahun daripada hukuman penjara 30 tahun untuk kesalahan rogol dan bunuh Angie Dodge pada 1996 dibebaskan selepas hasil ujian DNA membuktikan beliau tidak bersalah. – Gambar AFP, 18 Julai, 2019.

SEORANG lelaki Amerika dibebaskan semalam selepas dipenjara berdekad lamanya kerana jenayah bunuh tidak dilakukannya, menggunakan bukti DNA dan pokok genetik keluarga, keputusan pertama menggunakan teknik siasatan canggih.

Christopher Tapp, 43, sudah dipenjara 20 tahun daripada hukuman penjara 30 tahun untuk kesalahan rogol dan bunuh Angie Dodge pada 1996.

Semalam, Mahkamah Idaho membatalkan sepenuh sabitan itu berdasarkan bukti menerusi “genealogi genetik”- teknik digunakan untuk mengenalpasti “Pembunuh Golden State” dengan memadankan DNA nya dengan saudara jauh.

“Ia hidup baharu, permulaan baharu, dunia baharu untuk saya, dan saya akan nikmatinya setiap hari,” kata Tapp selepas selesai perbicaraan membebaskannya, lapor media tempatan.

Pembebasan Tapp berlaku selepas polis menahan seorang lagi suspek, Brian Dripps pada Mei lalu.

Dripps, yang dikenal pasti menggunakan genealogi genetik mengaku melakukan jenayah itu.

Genetik genealogi mula jadi tumpuan pada April 2018 selepas ia digunakan untuk mencari “Pembunuh Golden State” di California yang bertanggungjawab ke atas 12 pembunuhan dan lebih 50 kes rogol pada pertengahan 1970-an.

Dalam kes itu- dan dalam hampir 70 kes lain yang diselesaikan- DNA ditemui di tempat kejadian dibandingkan dengan pangkalan data genealogi genetik.

Laman web itu yang diiklankan secara meluas di AS juga membolehkan pengguna meletak keputusan ujian DNA mereka dan mendapat senarai nama orang yang mempunyai genome yang sama- membolehkan mereka bertemu saudara jauh.

Pangkalan data itu membolehkan pegawai polis mencari orang yang serupa genetik dengan DNA ditemui di tempat kejadian, seterusnya mengesan suspek menerusi genetik keluarga.

Tetapi, kes Tapp adalah kes pertama genealogi genetik digunakan untuk membuktikan suspek tidak bersalah.

Pada 1998, Tapp dijatuhi hukuman penjara 30 tahun berdasarkan pengakuannya, yang kemudian ditarik balik.

Pada 2017, beliau dibebaskan dari penjara kerana persetujuan mahkamah, tetapi dakwaan bunuh tidak digugurkan.

Setahun kemudian, peguamnya mendapat hak untuk membuat ujian terhadap air mani ditemui di bilik tidur Angie Dodge. Genealogi genetik membawa polis kepada Brian Dripps.

Dripps yang pada 1996 tinggal di seberang jalan rumah Dodge, mengaku melakukan jenayah itu selepas pegawai polis menguji puntung rokok dibuangnya dengan DNA di tempat kejadian.

Pendakwa raya Idaho menarik balik tuduhan terhadap Tapp dan memfailkan usul untuk pembebasan sepenuhnya, yang diluluskan hakim semalam. – AFP, 18 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen