PIHAK berkuasa Pakisatan semalam menahan suspek disyaki dalang serangan pengganas di Mumbai pada 2008 ketika negara itu berdepan tekanan menghapuskan operasi militan di negaranya.
Penahanan Hafiz Saeed dialu-alukan Presiden AS Donald Trump, yang akan menerima Perdana Menteri Pakistan Imran Khan minggu depan di White House.
“Selepas sepuluh tahun pencarian, ‘dalang’ serangan pengganas Mumbai telah ditahan di Pakistan,” tulis Trump.
“Sejak dua tahun lepas banyak tekanan diberikan untuk mencarinya!”
Saeed- diisytihar sebagai pengganas global oleh AS dan PBB dan diletakkan habuan AS$10 juta oleh AS untuk penahanannya- sebenarnya tidak pernah hilang, tetapi sejak bertahun-tahun dipindahkan dari satu pusat tahanan ke pusat tahanan lain di Pakistan, kadang kala dalam tahanan rumah, kadang kala dibebaskan sebentar oleh pihak berkuasa.
Penahanan terbarunya dibuat di timur Pakistan oleh pasukan anti keganasan, kata seorang pegawai keselamatan yang arif tentang kes itu.
“Hafiz Saeed dalam perjalanan ke Gujranwala untuk memohon ikat jamin dalam kes lain ketika ditahan,” kata sumber yang bercakap atas dasar kerahsiaan.
Seorang lagi sumber keselamatan berkata penahanan itu berkaitan dengan tuduhan pembiayaan keganasan.
Jurucakap kumpulan Saeed, Jamaar-ud-Dawa (JuD), sayap militan kumpulan Lashkar-e-Taiba (LeT), mengesahkan penahanan itu kepada AFP, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Saeed menghabiskan banyak masanya bebas dari penjara dan bergerak di seluruh Pakistan. Tindakan yang mencetuskan kemarahan India, yang berulang kali mendesak dia dihukum atas dakwaan mendalangi serangan pengganas di Mumbai pada 2008 yang membunuh lebih 160 orang.
LeT dituduh India dan Washington jadi dalang serangan yang berlaku selama empat hari itu. Saeed menafikan penglibatannya.
Sebelum serangan berlaku di Mumbai, Washington dan New Delhi sudah menggesa Pakistan bertindak ke atas LeT, yang diharamkan Islamabad pada 2002 tetapi menjenamakan semula dirinya sebagai JuD dan Yayasan Falah-e-Insaniat (FIF)-badan kebajikan yang dianggap mendalangi banyak keganasan mensasarkan India.
Awal tahun ini, Pakistan menahan lebih 100 orang suspek militan dan menutup ratusan sekolah agama.
Penahanan itu berlaku dalam usaha penghapusan pengganas, susulan kemelut dengan India selepas kumpulan berpangkalan di Pakistan membunuh berpuluh orang tentera India dalam satu serangan bunuh diri di Kashmir pada Februari.
Serangan itu mencetuskan ketegangan diplomatik sehingga memaksa kuasa besar dunia lain meminta kedua-dua negara bertenang, bimbang perang akan tercetus.
Pakistan juga berdepan risiko senarai hitam Pasukan Tindakan Khas Kewangan- sebuah kumpulan pemantau anti pengubahan wang haram di Paris- kerana gagal berusaha memerangi pembiayaan keganasan.
Organisasi itu dijangka memutuskan nasib Pakistan dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas meletakkannya dalam senarai amaran tahun lepas. – AFP, 18 Julai, 2019.
Komen