Lebih 1.3 juta orang mahu ‘serbu’ Area 51


Area 51 terkenal dengan konspirasi AS menyembunyikan makhluk asing. – Gambar AFP, 18 Julai, 2019.

LEBIH sekurun lamanya, ahli sains berusaha mencari petanda kehidupan asing, cubaan yang setakat ini tidak membuahkan hasil- kecuali jika anda percaya kerajaan AS menyembunyikan makhluk asing di Nevada.

Jumlah mereka yang percaya dengan teori ini mungkin bertambah. Setakat Selasa lalu, lebih 1.3 juta orang menyatakan persetujuan untuk hadir di sebuah acara dalam Facebook digelar “Serbu Area 51, Mereka Tak Boleh Halang Kita Semua” yang dijadualkan berlaku pada awal pagi 20 September, dan sejuta orang lagi menyatakan minat mereka.

Area 51 adalah pangkalan rahsia tertinggi Tentera Udara AS di padang pasir Nevada, kewujudannya tidak diakui CIA sehingga 2013, apabila agensi itu membatalkan status sulit dokumen berkaitan pesawat risikan U-2.

Kerahsiaan yang wujud berkaitan kewujudan pengkalan itu menjadikan ia modal kepada teori konspirasi makhluk asing dan muncul dalam budaya pop termasuklah rancangan TV The X Files dan filem Independence Day.

Pengasas acara di Facebook itu menjelaskan: “Kita semua akan bertemu di pusat tarikan pelancong Pusat Makhluk Asing Area 21 dan merancang kemasukan kita.

“Jika kita lari gaya naruot, kita boleh bergerak lebih pantas daripada peluru. Mari lihat makhluk asing.”

Naruto adalah watak anime Jepun, karakter terkenal dengan larian ninjanya.

Acara itu mencetuskan pelbagai meme, banyak berkisar kepada kaedah terbaik memperdaya pengawal keselamatan supaya orang lain boleh menyeludup masuk ke dalam Area 51.

Dalam catatan di Facebook, penganjur acara itu mengeluarkan amaran yang acara itu hanyalah satu jenaka.

Tentera Udara AS bagaimanapun memandang serius perkara itu, dipetik berkata oleh Washington Post: “(Area 51) adalah kawasan lapang sasar latihan terbuka untuk Tentera Udara AS, dan kami tidak menggalakkan orang awam untuk cuba masuk ke dalam kawasan yang menjadi tempat latihan pasukan bersenjata Amerika.

“Tentera Udara AS sentiasa bersiap sedia mempertahankan Amerika dan asetnya.” – AFP, 18 Julai, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen