Makna negara berpendapatan tinggi patutnya bukan hanya soal duit


Ragananthini Vethasalam

Kesejahteraan sosial termasuklah keselamatan alam sekitar dan sistem pendidikan berkualiti perlu dimasukkan dalam makna status pendapatan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

PEKERJAAN yang lebih baik dan sistem persekolahan berkualiti adalah antara elemen yang perlu juga dikira sebagai “status pendapatan tinggi”, kata ahli ekonomi ketika Malaysia sedang berusaha ke arah mencapai matlamat itu dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), negara berpotensi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2022 berdasarkan jangkaan perkembagaan semasa.

Penilaian IMF itu lebih awal berbanding jangkaan Bank Dunia yang menjangkakan Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2024.

Dalam laporan terbaru, Bank Dunia meletakkan negara yang memperolehi AS$12,375 dalam pendapatan kasar nasional per kapita (GNI per kepala) sebagai pendapatan tinggi.

Bagaimanapun, Dr Shankaran Nambiar daripada Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) berkata Malaysia perlu mempertimbangkan syarat lain untuk mencapai matlamat itu dan tidak hanya berusaha memenuhi takat pendapatan.

“Saya fikir ia mungkin (untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi) jika kita sempitkan makna ‘status pendapatan tinggi’ yang tertumpu sepenuhnya kepada pendapatan,” katanya yang juga felo penyelidik kanan MIER kepada The Malaysian Insight.

“Saya tidak pasti jika inilah yang kita mahukan sebagai makna status pendapatan tinggi.

“Saya fikir kita juga perlu kaitkan status pendapatan tinggi dengan standard tinggi kehidupan, lebih banyak kebebasan, keupayaan yang lebih luas dan mendalam.”

Makna status pendapatan tinggi perlu diperluas, tidak cukup hanya berkisar soal duit dan pendapatan, kata ahli ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

Ahli ekonomi sudah tidak lagi menganggap GNI sebagai tanda aras tunggal untuk mengukur kesejahteraan ekonomi, kata Shankaran, menambah yang negara berpendapatan tinggi juga meliputi kesejahteraan sosial seperti kebebasan membuat pilihan, keselamatan alam sekitar dan pekerjaan yang bermakna.

“Apakah sebenarnya pandangan multi dimensi tentang makna pendapatan tinggi? Kebebasan membuat pilihan, akses kepada peluang sebenar, menikmati set luas keupayaan termasuklah pekerjaan bermakna, keselamatan alam sekitar dan kemampuan melakukan apa yang dihendaki.”

Negara berpendapatan tinggi juga perlu meliputi sistem pendidikan yang menyemai kreativiti.

“Bila makna status pendapatan tinggi diperluas, tidak nampak rasanya yang kita boleh ada sistem pendidikan yang menyemai kreativiti dalam tempoh dua tahun lagi dan itu hanyalah satu perkara dalam agenda status pendapatan tinggi yang perlu dipertimbangkan.”

Salahkan ringgit

Menurut kaedah Atlas Bank Dunia mengira GNI per kapita, Malaysia sudah mencapai AS$10,460 pada 2018.

Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia sepatutnya boleh melepasi takat pendapatan tinggi pada 2020, tetapi ia tidak berlaku kerana kelemahan ringgit.

GNI per kapita Malaysia dalam ringgit meningkat pada kadar purata tahunan 3.6% antara 2011 dan 2018.

Jika ringgit bertambah kukuh, status pendapatan tinggi mungkin dicapai lebih awal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

Bagaimanapun, penurunan ringgit, inflasi tinggi berbanding ekonomi maju yang menyebabkan deflasi, menyebabkan penurunan GNI per kapita negara antara 2015 dan 2017, kata Yeah.

“Bagaimanapun, (GNI per kapita) naik kepada 6.6% pada 2018 disebabkan penstabilan mata wang dan inflasi jatuh kepada 1%.

“Jika kadar pertumbuhan kekal untuk dua tahun akan datang, dan ekonomi maju berkembang lebih perlahan, ada kemungkinan besar untuk negara mencapai takat pendapatan tinggi dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi.”

Jika ringgit, yang buat masa sekarang nilainya lemah antara 10 hingga 15%, diperkukuh, maka GNI per kapita Malaysia juga akan meningkat apabila ditukar kepada dolar AS, tambah Yeah.

“Kemungkinan kelemahan pertumbuhan ekonomi maju adalah satu lagi faktor penolak untuk Malaysia melepasi takat pendapatan tinggi lebih awal daripada 2024 seperti dijangkakan Bank Dunia.” – 18 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen