KALANGAN wanita Orang Asli Temiar di Gerik, Perak masih trauma selepas mengalami pelbagai masalah kesihatan kerana mengambil ubat perancang keluarga.
Mereka mendakwa Jabatan Kesihatan memaksa mereka mengambil suntikan itu dengan alasan masyarakat Orang Asli itu banyak melahirkan anak.
Kumpulan ini juga mengesyaki pengambilan ubat tersebut juga menyebabkan kalangan wanita melahirkan anak yang cacat anggota.
Ada juga mengadu sering kepenatan, kejang otot, pening kepala dan selera makan meningkat dengan melampau apabila menerima ubat cegah kehamilan.
Seorang daripadanya, Senora Goh berkata beliau mula diberikan pil tersebut selepas melahirkan anak ketiga pada 2015.
“Masa saya ambil pil itu saya selalu pening, makan banyak, cepat penat saya rasa sangat tak selesa selepas itu saya takut sangat dan berhenti ambil pil itu, “ katanya.
Beliau yang ditemui di Kampung Air Papan berkata beliau mula hamil anak keempat selepas berhenti mengambil pil tersebut.
“Anak keempat saya anak kurang upaya, dia tidak ada tangan,” katanya.
Beliau mengesyaki pengambilan ubat itu menjadi punca kecacatan anaknya kerana kesemua anaknya yang lain dilahirkan dengan cukup sifat.
“Anak pertama saya hingga yang ketiga fizikalnya sempurna,” katanya.

Dipaksa ambil pil perancang
Senora kini berasa takut untuk mengambilnya lagi lagi kerana kesan ubat tersebut masih dirasai.
“Walaupun saya tak ambil pil atau suntikan, rasa tidak sihat badan. Sakit itu masih ada lagi sampai sekarang. Sebab itu saya terlalu takut kalau mereka nak bagi saya pil lagi,” katanya.
Seorang lagi wanita suku Temiar, Linda Alam, juga mengakui mengalami simptom sama seperti Senora kerana dipaksa mengambil pil perancang pada 2015 selepas melahirkan anak pertama.
“Saya kata saya tak nak disuntik tapi mereka kata kalau tak disuntik saya akan beranak lagi,” kata Linda, 24.
Mazliza Musa, 29 tahun pula berkata beliau diugut supaya menerima pil perancang itu, seminggu selepas melahirkan anak walaupun tidak mahu menerimanya.
“Saya tak nak pil tersebut, tapi kalau kita cakap tak nak mereka (jururawat) tidak akan terima (alasan untuk tidak mengambil ubat perancang),” katanya.
Wanita lain di kampung itu juga mengakui anggota Jabatan Kesihatan tidak mahu menerima alasan mereka untuk tidak mengambil ubat perancang tersebut.
Zaiton Goh, 24, berkata Jabatan Kesihatan sepatutnya menghentikan pemberian ubat tersebut kerana wanita Orang Asli selama ini mengambilnya tanpa mengetahui kesan ke atas diri mereka.
“Kaum wanita Orang Asli tidak pernah diberitahu ubat ini untuk apa, apa kesan kepada kami.
“Kami selama ini hanya terima dan makan ubat itu dan kini terpaksa tanggung akibatnya dengan sakit selama-lamanya.
“Jadi kami minta berhenti bagi kami pil perancang keluarga,” katanya.
Hak mendapat zuriat
Wakil penduduk kampung, Ajang Aluej pula berasa tertipu setelah mendapati ubat tersebut bertentangan dengan hak mereka untuk mendapatkan zuriat.
Katanya, pemberian ubat itu bertentangan dengan adat Orang Asli Temiar untuk mendapat ramai anak bagi membantu keluarga.
“Mengikut adat kami, kalau lagi ramai anak maka ibu bapa akan senang sebab anak-anak ini akan jaga ibu bapa mereka nanti.
“Kebiasaan kami dalam satu keluarga ada 11 atau 12 anak. Tapi ada juga tidak ramai, ia bergantung,” katanya.
Oleh itu Jabatan Kesihatan tidak perlu memaksa golongan wanita Orang Asli mengambil ubat perancang kerana melahirkan ramai anak, katanya.
“Kami Orang Asli ada juga adat, kepercayaan kami. Kami boleh juga merancang keluarga ikut cara adat kami,” katanya.
Katanya, beliau berasa tertipu kerana pada awalnya Jabatan Kesihatan memberitahu ubat itu diberi demi kebaikan masyarakat Orang Asli.

“Tapi rupa-rupanya ia untuk kehancuran. Sepatutnya sebelum buat apa-apa datanglah pada kami dulu, buat penerangan.
“Dan pihak kesihatan sepatutnya kena dapatkan persetujuan suami isteri, dan bukannya macam sekarang kami tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Tambahnya Jabatan Kesihatan sepatutnya mendapatkan persetujuan masyarakat dan juga suami wanita terbabit sebelum memberikan ubat itu kepada anggota masyarakat itu.
Beliau merupakan antara penduduk lima buah kampung Orang Asli di Gerik yang hadir di bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan menghentikan program tersebut.
Kumpulan berkenaan disokong NGO Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) dan Centre For Orang Asli Concern (COAC) yang membawa wakil masyarakat itu ke Parlimen Selasa lalu.
Jurucakap COAC Lili Li berkata mereka percaya program itu tidak hanya disasarkan kepada wanita Temiar di Gerik tetapi kesemua Orang Asli di negara ini.
Wakil COAC, Lili berkata program merancang keluarga bagi orang Asli dipercayai mula dilaksanakan Kementerian Kesihatan pada 2015 dan 2016.
Lili berkata NGO berkenaan dituduh cuba menyebarkan fitnah apabila cuba membangkitkan isu tersebut.
“Tapi hal begini Orang Asli sendiri yang datang mengadu kepada kami namun bila kita bangkitkan, kita dituduh sebagai menghasut cuba untuk membuat fitnah,” katanya.
Katanya satu laporan polis dibuat Orang Asli Pos Piah untuk menghentikan suntikan pada 2017 namun ia tetap diteruskan kerajaan.
Kehamilan berbahaya
Kes masalah kesihatan dan simptom yang dialami golongan wanita Orang Asli kesan daripada pengambilan ubat tersebut juga berbeza-beza mengikut kawasan, katanya.
“Seperti di Pahang, mereka masih belum mengalami simptom yang teruk pada kesihatan kecuali makan saja banyak.
“Orang Asli berdekatan dengan bandar pula akan diberikan penerangan tapi jika di kawasan pedalaman mereka tidak akan tahu apa-apa,” katanya.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad minggu lalu berkata mempertahankan bahawa suntikan itu bertujuan untuk melindungi Orang Asli daripada kehamilan yang membahayakan kesihatan dan nyawa.
Katanya, ia bagi mencegah kehamilan di kalangan wanita Orang Asli yang berhadapan masalah seperti anemia dan kekurangan darah merah.
Pada masa sama beliau turut meminta bukti bahawa ubat pencegah kehamilan tersebut menjejaskan kesihatan bagi membolehkan siasatan dilakukan.– 18 Julai, 2019
Komen