PKR mampu bertahan dalam skandal seks terbaharu melibatkan pemimpin nombor dua parti itu Mohamed Azmin Ali kerana daya tahannya dalam berdepan dakwaan liwat terhadap presiden parti Anwar Ibrahim.
Azmin yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi terpalit dakwaan seks sejenis dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang juga dikenali sebagai Tian Chua berkata, beliau percaya parti itu mampu berdepan dengan situasi ini.
“Saya menyeru kedaulatan undang undang digunakan kepada semua pihak secara saksama.
“Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan secara adil dan telus tanpa gangguan daripada mana-mana termasuk mereka yang memegang kuasa. Jika seseorang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadapnya,” kata Tian Chua kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, parti itu perlu kuat dan bersatu dalam waktu ini kerana banyak maklumat yang salah dan ada pihak mengambil kesempatan atas situasi itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR akan beri kerjasama kepada penyiasat, dan menambah parti itu sudah biasa dengan cara perang politik sebegini.
Parti yang paling besar dalam pakatan pemerintah itu sebelum ini berdepan dengan beberapa skandal seks.
“Saya rasa parti perlu kekal kuat dan bersatu dalam menghadapi dugaan ini kerana banyak maklumat yang tidak tepat wujud serta ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Daripada penilaian saya, perkara-perkara yang dilakukan adalah sangat canggih dan rumit. Ini menunjukkan sesiapa yang terlibat dalam penyebaran dan dalang rancangan itu biasa dengan jenis gerakan politik ini,” katanya.
Namun katanya terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.
Polis setakat ini menahan sembilan suspek termasuk Haziq dan ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga merupakan setiausaha politik Anwar.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat konspirasi di sebalik video seks berkenaan dan mereka yang ditahan setakat ini mendapat arahan daripada seseorang yang mempunyai kedudukan.
Hamid juga berkata terdapat kemungkinan penglibatan ahli politik dan kumpulan yang menekan.

Sementara itu, ahli majlis pimpinan pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata hubungan antara pemimpin kanan PKR termasuk dirinya dan Azmin masih baik.
“Saya pun baik dengan dia cuma benda tak betul, saya serang.
“Saya baik dengan Azmin Ali tapi saya pun pegang kepada pentadbiran bermoral. Saya tidak ada pilihan, begitu juga, Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua Penerangan PKR), ” jelasnya.
Mengenai sama ada Azmin patut bercuti, Abdullah Sani berkata adalah baik untuk beliau berbuat demikian walaupun presiden parti nyatakan sebaliknya.
Anwar sebelum ini berkata, Azmin patut meletakkan jawatan sekiranya tuduhan video seks itu benar.
Fahmi bersetuju dengan pendirian Anwarm dan berkata presiden PKR sudah menjelaskan pendirian parti.
“Jika tiada sebab untuk beliau (Azmin) letak jawatan, beliau patut kekal. Saya rasa pendirian ini jelas,” tambah pengarah komunikasi parti itu.– 18 Julai, 2019
Komen