POLIS berhak untuk tidak mendedahkan kes video seks sehingga siasatan selesai walaupun terdapat gesaan untuk pihak berkuasa mendedahkan sama ada video berkenaan tulen atau sebaliknya, kata peguam dan pemerhati.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, adalah wajar untuk polis tidak mendedahkan perkara sulit buat sementara waktu sebagaimana yang mereka lakukan dalam kebanyakan kes.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer berkata, sekiranya mereka mendedahkan fakta kes - berhubung ketulenan klip video berkenaan dan siapa yang menyebarkannya - ia akan menjejaskan siasatan.
“Akhirnya sekiranya ada pendakwaan ke atas seseorang, semuanya akan terdedah,” kata Rayer kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan polis untuk tidak mendedahkan laporan daripada CyberSecurity Malaysia yang ditugaskan untuk mengesahkan ketulenan video seks Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lelaki, yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk mencari jawapan kerana rakyat mahu tahu ketulenan video berkenaan dan siapa yang dalang menyebarkannya.
Rayer berkata, saksi dan bukti boleh diganggu sekiranya hasil dapatan CyberSecurity Malaysia didedahkan terlalu awal.
“Penting untuk polis tidak mendedahkannya sehingga ia dibawa ke mahkamah,” katanya yang juga seorang peguam.
Rayer juga tidak percaya yang polis cuba menutup kes ini.
“Sebagaimana masyarakat ingin tahu mengenai kes ini, polis perlu melindungi integriti kes ini,” kata Rayer.
Presiden Transparency International Dr Muhammad Mohan turut bersetuju dengan Rayer.
“Pada pandangan kami memandangakn kes masih berjalan, polis perlu diberi ruang untuk melengkapkan siasatan dan membawa kes kepada Jabatan Peguam Negara.
“Ia terlalu pramatang untuk mendedahkan kepada umum sehingga AGC tentukan sama ada untuk mendakwa seseorang kerana persepsi umum boleh menjejaskan mangsa yang tidak bersalah,” kata Muhammad.
Seorang lagi peguam Ramkarpal Singhh merasakan polis perlu dedahkan status siasatan kepada umum secepat mungkin.
“Apa yang CyberSecurity telah berikan kepada polis akan menjadi sebahagian daripada siasatan. Lebih baik polis dedahkan status siasatan ini secepat mungkin.
“Rakyat nak tahu sama ada video itu betul atau tidak. Siasatan CyberSecurity akan menjawabnya dan ia adalah jawapan penting yang perlu didedahkan kepada umum,” katanya yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Setakat ini polis menahan sembilan suspek untuk siasatan berhubung pengeluaran dan penyebaran bahan lucah. Antara yang ditahan adalah Haziq, ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang merupakan setiausaha politik Anwar.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat konspirasi di sebalik video seks berkenaan dan mereka yang ditahan setakat ini mendapat arahan daripada seseorang yang mempunyai kedudukan.
Hamid juga berkata terdapat kemungkinan penglibatan ahli politik dan kumpulan yang menekan.
Bulan lalu, beberapa siri klip video memaparkan aksi seks dua lelaku disebarkan menerusi WhatsApp. Haziq kemudiannya mengaku yang beliau merupakan lelaki dalam video berkenaan dan Azmin merupakan seorang lagi lelaki terbabit.
Azmin kemudiannya menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kariernya. Sejak itu PKR bertindak memecat Haziq. – 17 Julai, 2019
Komen