Ikea tutup kilang di AS, pindah ke Eropah


Menurut CNN, Ikea akan menghentikan pengeluaran di kilangnya di Danville, Virginia. Penutupan kilang yang dibuka pada 2008 itu menyebabkan 300 orang hilang pekerjaan. – Gambar EPA, 17 Julai, 2019.

SYARIKAT perabot Sweden, Ikea akan menutup kilangnya di Amerika Syarikat (AS) pada Disember dan berpindah ke Eropah untuk mengurangkan kos, lapor agensi berita Xinhua, memetik media AS pada Selasa.

Menurut CNN, Ikea akan menghentikan pengeluaran di kilangnya di Danville, Virginia. Penutupan kilang yang dibuka pada 2008 itu menyebabkan 300 orang hilang pekerjaan.

“Kami telah sedaya upaya untuk mengekalkan daya saing kilang ini, malangnya kos yang meningkat menyebabkan pengeluaran di Danville sukar diteruskan untuk tempoh jangka panjang,” kata pengurus kilang Bert Eades dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata faktor utama kilang itu terpaksa dipindahkan, disebabkan peningkatan harga bahan.

“Ikea berkata pada Selasa keputusan menutup kilang itu tidak berkaitan dengan tarif,” lapor CNN.

Syarikat perabot itu mempunyai kilang pengeluaran di sembilan negeri dan mengupah kira-kira 20,000 pekerja. Di seluruh dunia Ikea mempunyai hampir 200,000 kakitangan. 

Ikea pada tahun lepas mengatakan 7,500 pekerja akan diberhentikan dalam usaha penyusunan semula syarikat yang dikatakan akan mewujudkan 11,500 peluang pekerjaan. – Bernama, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen