Dr Mahathir wajar jadi PM hanya 2 tahun, kata kajian


SM Amin

Ketua Pegawai Eksekutif IDE Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kajian itu juga menunjukkan pandangan bahawa Dr Mahathir harus dibenarkan memimpin lebih dua tahun hanyalah satu persepsi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Julai, 2019.

DR Mahathir Mohamad wajar jadi perdana menteri hanya untuk dua tahun sebelum digantikan oleh Anwar Ibrahim, kata kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE).

Ketua Pegawai Eksekutif IDE Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kajian itu juga menunjukkan pandangan bahawa Dr Mahathir harus dibenarkan memimpin lebih dua tahun hanyalah satu persepsi.

“Majoriti rakyat Malaysia merasakan Dr Mahathir Mohamad perlu memegang kepimpinan Malaysia selaku perdana menteri tidak melebihi dua tahun,” katanya ketika menjadi panel diskusi buku bertajuk “Anwar PM ke-8” di Shah Alam, hari ini.

IDE ialah sebuah badan penyelidik politik di bawah kerajaan Selangor.

Kajian yang diberi tajuk “Survei Malaysia 2019: Mood Rakyat” itu menunjukkan 75% responden setuju Dr Mahathir jadi perdana menteri tidak lebih dua tahun, sementara 22% berpendapat beliau tidak perlu letak jawatan.

“Daripada 75% tersebut, 64% berpendapat Dr. Mahathir perlu melepaskan jawatan segera dalam tempoh enam bulan ini,” katanya.

Kajian IDE yang beliau rujuk dibuat selama tiga hari antara 28 hingga 30 Jun lalu, melibatkan 1,597 responden yang mewakili semua 222 kawasan Parlimen di Malaysia.

Dalam kajian sama, majoriti responden memilih Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir.

Diskusi tentang bakal perdana menteri Anwar Ibrahim berlangsung petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Julai, 2019.

Menjawab soalan siapa yang layak dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan untuk menjadi perdana menteri yang kelapan, 45% responden memilih Anwar sementara 16% menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dengan sokongan 11% menjadi pilihan mereka yang ketiga, kata kajian itu.

“Ini soalan terbuka, kita beri peluang untuk mereka menamakan termasuk dari kalangan pembangkang,” jelas Redzuan.

Dalam kalangan pemimpin pembangkang, bekas perdana nenteri Najib Razak mendapat sokongan 6%, manakala Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang masing-masing 3%, lebih tinggi daripada pemimpin PH yang lain termasuk Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Mukhriz Mahathir yang dapat 1%.

Sejumlah 27% responden pula tidak menamakan mana-mana pemimpin dalam senarai sebaliknya memilih “lain-lain”.

Kajian Institut Darul Ehsan mendapati ramai rakyat berpandangan Dr Mahathir Mohamad perlu berundur dalam tempoh dua tahun untuk memberi laluan kepimpinan negara kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2019.

Sementara itu, penulis buku Shahbudin Husin menjelaskan beliau menulis buku dengan tajuk sedemikian kerana isu mengenai peralihan kuasa perdana menteri adalah topik utama perbualan dalam tempoh setahun yang lalu.

“Kita merasakan tempoh dua tahun sudah memadai. Walaupun ada cadangan yang meminta (Dr Mahathir) menghabiskan (jawatan) sehingga hujung penggal, usianya ketika itu sudah menjangkau 98 tahun.

“Kalau kita paksa dia sampai umur 98 tahun macam kita mendera dia.

“Kita juga tidak mahu Pakatan Harapan terus bergolak disebabkan perkara ini,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, PH sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar, yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara, sebagai calon penggantinya.

Beberapa pemimpin PH kemudian menjelaskan kesepakatan itu tidak melibatkan perjanjian tempoh bila sebenarnya Dr Mahathir harus menyerahkan tampuk pentadbiran Malaysia kepada Anwar. – 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen