Azmin jawab Anwar: 'Tengok cermin dulu'


Zaim Ibrahim

Suruh Anwar Ibrahim muhasabah, kata Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2019.

MOHAMED Azmin Ali membidas Anwar Ibrahim selepas presiden PKR itu berkata timbalannya perlu letak jawatan jika tuduhan yang mengaitkan beliau dengan rakaman seks dua lelaki yang tersebar lima minggu lalu terbukti benar dan sahih.

Kata Azmin, Anwar patut cermin dirinya sendiri.

“Tengok mulut saya, beritahu dia, tengok cermin.

“Suruh Anwar untuk muhasabah, tengok cermin muka dia dahulu,” kata Azmin kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini. 

Anwar awal hari ini dilaporkan berkata yang kedudukan Azmin bergantung kepada hasil siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kata Anwar, sekiranya sahih Azmin adalah salah seorang lelaki dalam video intim seperti didakwa Haziq Abdullah Abd Aziz, beliau perlu meletak jawatan. Jika tidak benar, Azmin tidak perlu bercuti.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi sokongannya kepada Azmin, mendakwa skandal video seks itu adalah cubaan jahat menamatkan kerjaya politik pemimpin kanan Pakatan Harapan itu.

“Saya nampak ini satu gerakan politik bukan jenayah.

“Jenayahnya adalah ada pakatan untuk menjatuhkan Azmin,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Lima minggu lepas, siri video memaparkan dua lelaki melakukan hubungan intim tersebar melalui WhatsApp. Haziq kemudian muncul dalam sebuah video mendakwa beliau dan Azmin adalah lelaki dalam rakaman itu.

Azmin kemudian menafikan tuduhan itu, mendakwa ia konspirasi jahat terhadapnya. 

PKR sudah memecat Haziq.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis sudah mengenal pasti dalang rakaman dan penyebaran video itu.

Setakat ini, sembilan orang ditahan untuk membantu siasatan kes itu termasuklah Setiausaha Politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. – 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen