Tidak cukup bukti Beng Hock dibunuh, kata AG


Ragananthini Vethasalam

Peguam Negara Tommy Thomas berkata arahan kepada polis untuk buka semula siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan adalah kerana prosedur pentadbiran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2019

BUKTI tidak cukup untuk membuat pertuduhan homisid dalam kes Teoh Beng Hock, kata Peguam Negara Tommy Thomas dalam surat kepada peguam keluarga si mati, Ramkarpal Singh.

“Keputusan ini perlu kerana walaupun banyak kali penelitian dibuat oleh pegawai di Jabatan Peguam Negara, yang paling baharu pada 2019, ke atas bukti yang dikumpul daripada siasatan berhubung kemungkinan pembunuhan susulan penemuan Mahkamah Rayuan, bukti yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat  pertuduhan di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan.

“Arahan daripada AGC kepada polis untuk membuka semula kertas siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan adalah prosedur pentadbiran semata-mata,” katanya dalam surat bertarikh 8 Julai.

Seksyen 304 membawa hukuman penjara kerana kesalahan membunuh tanpa niat.

Tommy berkata, klasifikasi kes baru-baru ini tidak akan menghalang penyiasat untuk mencari kebenaran dan mengenal pasti pihak yang terlibat.

“Siasatan berhubung penahanan secara salah di bawah Seksyen 342 konsisten dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa Teoh tidak boleh meninggalkan premis SPRM walaupun beliau tidak pernah ditahan.

“Sila pastikan bunti yang cukup oleh polis, pendakwa raya tidak dihalang dengan klasifikasi pentadbiran daripada membuat pertuduhan di bawah homisid, atau mana-mana pertuduhan yang sesuai untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.”

Ramkarpal, yang membuat salinan surat berkenaan kepada media, berkata beliau akan menemui Thomas, bersama anggota keluarga Teoh, pada minggu ini untuk mendapatkan penjelasan mengapa ia tidak diklasifikasikan sebagai kes bunuh. – 17 Julai, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen