Penunjuk perasaan Sudan, tentera meterai perjanjian kongsi kuasa


Bantahan besar-besaran di seluruh Sudan bermula dengan penentangan Bashir dan kemudian diteruskan selepas tentera bertindak merampas kuasa pada 11 April. – Gambar EPA, 17 Julai, 2019

PENUNJUK perasaan dan pemerintah tentera memeterai perjanjian untuk perkongsian kuasa yang menyasarkan untuk mewujudkan pentadbiran awam, yang dituntut penunjuk perasaan sejak presiden Omar al-Bashir digulingkan tiga bulan lalu.

Langkah itu memecahkan kebuntuan yang menyelubungi negara berkenaan, sejak bantahan besar-besaran di seluruh negara bermula dengan penentangan Bashir dan kemudian diteruskan selepas tentera bertindak merampas kuasa pada 11 April.

Timbalan jeneral majlis tentera, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo—yang memulakan perjanjian bagi pihak semua jeneral tentera pada Rabu—memberitahu AFP, perjanjian itu merupakan “detik bersejarah” kepada Sudan.

Ia “membuka era baharu kerjasama antara pasukan tentera, RSF dan pemimpin revolusi Sudan,” kata Dagalo selepas menandatangani perjanjian itu.

Selain kedudukannya sebagai timbalan majlis tentera, Dagalo turut mengetuai RSF, iaitu organisasi separa tentera yang digeruni.

Sementara itu, pemimpin penunjuk perasaan Ibrahim al-Amin hari ini mengesahkan perjanjian itu.

“Hari ini, kita telah melengkapkan deklarasi politik,” katanya.

Rundingan diadakan sepanjang malam di sebuah hotel di tepi Sungai Nil ibu negara berkenaan, kata koresponden AFP.

Perkongsian kuasa yang secara prinsipnya dipersetujui pada 5 Julai lalu, diatur oleh pengantara dari Kesatuan Afrika dan Ethiopia selepas seminggu rundingan itu dijalankan antara kumpulan penunjuk perasaan dan pihak tentera. – AFP, 17 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen